
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman pada 28 Julai 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 28 Jul – Susulan cabaran bekalan gas dihadapi Bangladesh kini, kerajaan negara itu memohon bantuan Malaysia, termasuk menerusi kerjasama dengan PETRONAS, bagi membekalkan gas asli cecair (Liquified Natural Gas – LNG) untuk memenuhi keperluan mendesak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, dalam perbualan telefon mereka, hari ini.
Beliau berkata, perbualan mereka menyentuh pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-Bangladesh, khususnya dalam bidang tenaga dan pelaburan, demi manfaat bersama.
“Dalam perbualan telefon itu, turut dibincangkan kerjasama ekonomi, termasuk kemajuan pelaburan membabitkan Axiata dan potensi kerjasama strategik bersama MMC Port, dalam memperkukuhkan hubungan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus komited memperkukuhkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin dengan Bangladesh berteraskan semangat saling menghormati, kerjasama pragmatik dan iltizam untuk membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Menurut laporan media antarabangsa, kekurangan bekalan gas di Bangladesh berikutan konflik Asia Barat, menjadi lebih parah akibat kemalangan di sebuah kemudahan industri.
No comments:
Post a Comment