JUSTICE TO WAN AHMAD FARIS







Che Ibrahim

 Semoga Allah memberi keadilan kepada keluarga Wan Ahmad Faris dan semoga Allah memberi pembalasan setimpal kepada pembunuhnya dan mereka yang bersyubhat dengannya


DARIPADA:


WAN ABDUL RAHMAN BIN WAN YAACOB

RUHANI BINTI HUSSIN

Lot xxx, Kg Bayu Lalang

17000 Pasir Mas

Kelantan

No. Telefon: xxxxxx /xxxxxxx


Tarikh: 28 Julai 2026


SEGERA / MELALUI POS BERDAFTAR (AR REGISTERED)


KEPADA:


1. PENGARAH

YAYASAN ISLAM KELANTAN (YIK)

Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan

Peti Surat 248, Jalan Tunjung - Pasir Mas

Bandar Baru Tunjung

16010 Kota Bharu, Kelantan


2. PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI KELANTAN 

(Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan)

PEJABAT PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI KELANTAN

Blok 5, Kompleks Kota Darulnaim,

15503 Kota Bharu, Kelantan.


3. PENGETUA

KOLEJ TAHFIZ SAINS NURUL AMAN

Kok Lanas, Ketereh

16450 Kota Bharu Kelantan.


Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh, 


Tuan/Puan,


PER: NOTIS TUNTUTAN PENZAHIRAN DOKUMEN PENGURUSAN DAN OPERASI ASRAMA SEBELUM TINDAKAN SIVIL BERKAITAN TRAGEDI KEMATIAN ANAK KAMI, ALLAHYARHAM WAN AHMAD FARIS BIN WAN ABDUL RAHMAN PADA 12 DISEMBER 2013


Kami, nama-nama yang tertera di atas, adalah ibu bapa kandung, waris sah, dan bakal Pentadbir Harta Pusaka kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris bin Wan Abdul Rahman ("Allahyarham").


2. Kami merujuk kepada keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu pada 27 Disember 2016 yang memutuskan secara kehakiman bahawa kematian anak kami yang ditemui tergantung di tandas asrama Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman adalah akibat perbuatan jenayah pihak ketiga (dibunuh), dan bukannya bunuh diri sebagaimana naratif awal yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah.


3. Sila ambil maklum bahawa kami kini dalam persiapan akhir untuk memfailkan Tindakan Sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap pihak tuan/puan atas kausa tindakan Kecuaian Institusi, Pelanggaran Kewajipan Berwaspada (Duty of Care), dan Misfeasance in Public Office.


4. Kami menegaskan bahawa tuntutan kami terhadap dokumen-dokumen pengurusan ini bukanlah satu tuntutan baharu. Pihak kami melalui peguam terdahulu serta pihak keluarga sendiri telah menghantar surat permohonan rasmi untuk menuntut maklumat dan laporan siasatan sejak tahun 2014, antaranya seperti berikut:

4.1 Surat bertarikh 18.09.2014 daripada Tetuan Alias Ibrahim & Co. kepada Pengarah, Yayasan Islam Kelantan (Rujuk Lampiran A)


4.2 Surat bertarikh 18.09.2014 daripada Tetuan Alias Ibrahim & Co. kepada Pengetua, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman (Rujuk Lampiran B)


4.3 Surat bertarikh 27.08.2025 daripada Tetuan Asri Musa & Co. kepada Pengarah, Yayasan Islam Kelantan (Rujuk Lampiran C)


4.4 Memorandum bertarikh 01.09.2025 daripada kami kepada Kerajaan Negeri Kelantan (Rujuk Lampiran D)


Walau bagaimanapun, sehingga ke tarikh notis ini, pihak tuan/puan telah gagal, enggan, dan/atau abai untuk menyerahkan atau menzahirkan laporan tersebut kepada kami


5. Berikutan kegagalan pihak tuan/puan menzahirkan maklumat dalaman tersebut, dan memandangkan Nota Keterangan Koroner berada di bawah kawalan pihak Mahkamah (yang mana hanya berjaya kami perolehi pada 2 Januari 2025 akibat kelewatan birokrasi), kami dengan ini membuat tuntutan undang-undang terakhir sebelum memfailkan kes.


6. Kami dengan ini MENUNTUT pihak tuan/puan untuk menyerahkan salinan dokumen asal yang berada di bawah milikan eksklusif pihak tuan/puan dalam tempoh EMPAT BELAS (14) HARI dari tarikh surat ini diterima:


A. REKOD PENGURUSAN DAN OPERASI ASRAMA (9 – 12 DISEMBER 2013)


i. Buku Log Rondaan Fizikal Warden Asrama bagi tempoh material kejadian.

ii. Buku Rekod Kehadiran Harian (Roll-Call) Pelajar Asrama.

iii. Buku Log Keluar-Masuk Pondok Pengawal Keselamatan Utama Sekolah.


B. REKOD DISIPLIN & SIASATAN DALAMAN


i. Laporan Penuh Jawatankuasa Siasatan Dalaman Yayasan Islam Kelantan (YIK) / Pihak Sekolah berkaitan tragedi tahun 2013.

ii. Fail Disiplin dan Rekod Tindakan Penggantungan Sekolah bagi pelajar bernama Mxxx bin Mxxxxx (dan/atau suspek berkaitan) bagi tahun 2013.

iii. Buku Rekod Aduan Kes Buli Sekolah bagi keseluruhan tahun 2013.


C. DOKUMEN PENTADBIRAN PEROBOHAN STRUKTUR


i. Minit Mesyuarat atau Arahan Bertulis daripada Penolong Pengarah YIK/Pengurusan Sekolah yang meluluskan perobohan struktur fizikal tandas asrama (lokasi kejadian).


7. AMBIL PERHATIAN SEPENUHNYA, sekiranya pihak tuan/puan memberikan alasan bahawa dokumen-dokumen di atas "telah dilupuskan atau hilang kerana faktor masa", kami akan menggunakan surat permohonan kami sejak tahun 2014 tersebut serta surat-surat kami pada tahun-tahun seterusnya termasuk keterangan pihak tuan/puan dalam prosiding koroner sebagai bukti bertulis di mahkamah bahawa pihak tuan/puan telah mengetahui tentang tuntutan kami sejak awal lagi. Sebarang tindakan melupuskan rekod penting selepas tuntutan dibuat pada 2014 akan dihujahkan sebagai tindakan berniat jahat untuk memusnahkan bukti kes sivil (spoliation of evidence), dan kami akan memohon perintah Kesimpulan Bertentangan (Adverse Inference) di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap pihak tuan/puan.


8. Surat ini dihantar dengan prejudis kepada hak-hak sivil kami dan kami berhak sepenuhnya untuk mengemukakan notis ini sebagai bahan bukti rasmi di mahkamah kelak


Sekian, terima kasih.


Yang benar,


..................................................

WAN ABDUL RAHMAN BIN WAN YAACOB

..................................................

RUHANI BINTI HUSSIN


Sumber: Ali Hanafiah Mohamed



No comments: