Kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Negeri Sembilan semakin hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun sekali lagi ke negeri Adat Perpatih itu bagi menghadiri lima program bersama rakyat pada hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi HARAPAN berkata, kunjungan tersebut bertujuan menyantuni masyarakat setempat selain memberikan dukungan kepada calon dan jentera parti menjelang hari pengundian.
“Saya akan sekali lagi ke Negeri Sembilan untuk beberapa rencana bagi menyantuni masyarakat setempat serta memberi dukungan kepada calon dan jentera HARAPAN.
“Kita jumpa esok 9hari ini), insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial lewat malam tadi.

Berdasarkan jadual yang dikongsikan, program Anwar bermula pada jam 5 petang menerusi acara Minum Petang Bersama PMX di kawasan parkir MR DIY, Simpang Durian dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Selepas itu, beliau dijadualkan menghadiri Program Temu Anwar pada jam 6.25 petang di Dewan Pusat Dakwah Islamiah.
Program tersebut dijangka menjadi ruang kepada masyarakat setempat mendengar sendiri penerangan Anwar mengenai hala tuju Kerajaan MADANI, prestasi pentadbiran negeri serta kepentingan mengekalkan kestabilan politik di Negeri Sembilan.

Pada jam 8 malam, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat India di Klana Resort.
Agenda pembangunan
Kehadiran Anwar dalam program berkenaan memperlihatkan pendekatan HARAPAN yang terus mendekati masyarakat pelbagai kaum.
Kunjungan Pengerusi HARAPAN itu juga bukti komitmen gabungan itu untuk memastikan semua kelompok rakyat mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negeri.
Kemuncak kunjungan Perdana Menteri ialah dua program Grand Finale Kekal HARAPAN Negeri Sembilan.

Program pertama akan berlangsung pada jam 9 malam di Jalan Durian Emas 1, Betaria Business Centre dalam kawasan DUN Sikamat.
Anwar kemudiannya akan bergerak ke Tapak Pasar Malam Desa Cempaka bagi menghadiri program penutup di DUN Labu pada jam 10.30 malam.
Anwar dalam hantarannya turut menggunakan tanda pagar #KekalHARAPAN dan #UndiHARAPAN, sekali gus mengajak rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat kepada calon-calon HARAPAN.

No comments:
Post a Comment