24 Mei 2026
Tidak diragui lagi bahawa Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan diletakkan sebagai calon PKR di Parlimen Pandan untuk berdepan dengan Rafizi Ramli pada PRU16 akan datang.
Ini berikutan pengumuman Menteri Besar Selangor merangkap Naib Presiden PKR, Amirudin Shari semalam bahawa bekas Menteri MITI ini dilantik sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan.
Katanya, Pandan kini menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Tengku Zafrul diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di kawasan berkenaan.
“Jadi kita aturkan (Tengku Zafrul) sebagai wakil kerajaan dan pastinya wakil Perdana Menteri (Anwar) di kawasan Pandan itu,” tambah Amirudin lagi.
Menjelaskan lebih lanjut, Amirudin berkata, pemilihan Tengku Zafrul bagi “menjaga” kawasan Pandan adalah atas permintaan Anwar sendiri.
Ertinya, Tengku Zafrul sedang dipersiapkan sebagai pertaruhan untuk merampas Parlimen Pandan daripada Rafizi yang kini sudah meninggalkan PKR dan menubuhkan Bersama dan pastinya parti itu merupakan tiket bekas Timbalan Presiden PKR itu untuk bertanding semula pada PRU16 akan datang.
Bolehkah Tengku Zafrul menang?
Perkiraan awal mendapati Tengku Zafrul akan berdepan laluan sukar untuk menang di Pandan dan ada tiga faktor menyumbang kepada kesukaran itu.
Pertama, Rafizi adalah nama besar dan punya pengaruh besar di Pandan.
Semua orang Pandan sudah mengenalinya dan tahu apa perjuangannya, baik ketika bersama PKR atau setelah menubuhkan Bersama sementara Tengku Zafrul baru mahu mengetuk pintu rumah mereka.
Di tambah dalam keadaan sekarang di mana defisit kepercayaan rakyat kepada Anwar, PKR/PH dan kerajaan yang terlalu panjang jika mahu disenaraikan satu persatu, keadaan itu tambah menyukarkan untuk Rafizi ditewaskan.
Rafizi ketika ini dilihat sebagai simbol semak dan imbang nombor satu terhadap kerajaan dan rakyat, termasuk pengundi Pandan hampir pasti tidak mahu kehilangan suaranya, terutama di Parlimen.
Meskiipun Rafizi dan Bersama mungkin masih jauh untuk mengambil alih kerajaan selepas PRU16 akan datang, keberadaanya adalah pelengkap kepada sistem demokrasi kita.
Maksudnya, Rafizi tidak sukar untuk mempertahankan kerusi Pandan, walaupun melalui wadah yang berbeza.
Kedua, ramai penyokong PKR di Pandan, bahkan ahli parti itu pun dirasakan tidak akan memberi undi kepada Tengku Zafrul.
Sebab utama, ramai yang “tidak berkenan” dengan beliau.
Tengku Zafrul dikira orang baru dalam PKR, sebelum itu beliau daripada UMNO dan pernah bertanding di Parlimen Kuala Selangor atas tiket BN, manakala kehadirannya dalam kerajaan sebagai Menteri Kewangan adalah ketika Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri.
Pun begitu, walaupun baru dalam PKR dan setelah tidak boleh lagi dilantik sebagai menteri berikutan tempoh Senatornya telah tamat, beliau sebaliknya beroleh dua jawatan bergaji dalam kerajaan - Pengerusi MIDA dan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, mengambil alih tempat Setiausaha Politik Kanan, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum ini, tetapi dengan penarafan nama jawatan yang lebih glamour lagi.
Selain itu, di ketika ramai pimpinan lain masih tercari-cari dan melobi untuk menjadi calon, Tengku Zafrul nampaknya semacam sudah ada jaminan kawasan untuk bertanding.
Semua ini akan menyebabkan perlawanan Tengku Zafrul menentang Rafizi di Pandan tidak memberi kelebihan kepadanya, bahkan membuatkan lebih banyak hati-hati yang kepedihan setelah sekian lama bergelumang dengan onak duri refomasi.
Ketiga, selain ramai orang PKR “tidak berkenan” dengan beliau, orang UMNO Selangor mungkin lebih besar lagi “tidak berkenannya” dengan Tengku Zafrul.
Sebelum menyertai PKR, Tengku Zafrul adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Bendahari UMNO Selangor dan Ahli MT UMNO Malaysia.
Ramai orang UMNO Selangor berpandangan, jika PKR bukan mengetuai kerajaan sekarang dan Anwar bukan Perdana Menteri, beliau ketika ini diyakini masih lagi kekal bersama UMNO.
Dengan itu, tidak kira sama ada UMNO akan bekerjasama dengan PKR/PH atau tidak pada PRU akan datang, Tengku Zafrul sudah mula disebut sebagai “lauk” yang sedap untuk diratah.
Di media sosial sendiri, sudah ada ahli UMNO Pandan yang membuat hantaran tidak akan memberi undi kepada Tengku Zafrul, tetapi akan memberinya kepada Rafizi.
Akhir kata, selamat berjuang buat Tengku Zafrul. - ShahbudinHusin 24Mei2026.
No comments:
Post a Comment