
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat semalam, antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sumber memberitahu BH, beberapa pimpinan negeri PAS melaporkan perkembangan itu turut memberi kesan langsung kepada kestabilan dan kekuatan jentera Perikatan Nasional (PN) pada peringkat akar umbi, khususnya dalam menghadapi persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mesyuarat bermula pada jam 11 pagi itu berlangsung di Sri Iman, Kuala Terengganu, iaitu kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, itu turut menerima laporan mengenai situasi politik membabitkan PN daripada semua pesuruhjaya negeri.
Ia termasuk kedudukan akar umbi BERSATU dan tahap kecenderungan sokongan terhadap Team Reset.
Berdasarkan laporan yang dibentang, majoriti negeri dikatakan memberi gambaran kurang memihak kepada pimpinan semasa BERSATU apabila didakwa berlaku pembubaran banyak bahagian dan cawangan parti itu.
"Wujud kebimbangan bahawa konflik dalaman BERSATU yang berpanjangan boleh menjejaskan keyakinan penyokong PN serta melemahkan koordinasi antara parti komponen," katanya kepada BH, semalam.
Mesyuarat semalam antara lain memberi tumpuan utama kepada perkembangan terkini hubungan antara PAS dan BERSATU, khususnya berkaitan kemelut dalaman membabitkan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kumpulan Team Reset.

Pertimbang putus hubungan
Pada mesyuarat itu juga, PAS dikatakan mempertimbang langkah untuk memutuskan hubungan politik dengan BERSATU dalam tempoh terdekat sekiranya ketegangan sedia ada gagal diselesaikan.
Katanya, langkah itu mungkin dipertimbang susulan pandangan beberapa pimpinan PAS bahawa hubungan parti itu dengan BERSATU kini semakin kritikal.
"Sebarang keputusan muktamad belum dibuat dan perkara terbabit masih berada pada peringkat penelitian serta kajian dalaman.
"Sebarang tindakan besar berkaitan hal ini perlu melalui beberapa proses penting, termasuk perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS selaku badan tertinggi parti sebelum sebarang keputusan rasmi mengenainya katanya.
Sumber memaklumkan, mesyuarat juga membincangkan mengenai ketegangan yang berlaku dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Mei lalu, mengenai permohonan empat parti Melayu lain untuk menyertai PN.
Katanya, wakil PAS dalam mesyuarat terbabit mengambil pendekatan mengalah dan tidak memanjangkan pertikaian dengan wakil BERSATU demi mengelak situasi menjadi 'lebih panas'.
"Mesyuarat ini turut membincangkan isu penarikan semula Surat Akuan Bersumpah (SD) membabitkan dua wakil rakyat BERSATU di Negeri Sembilan yang didakwa dibuat tanpa rundingan atau makluman kepada pimpinan tertinggi PN Pusat.
"Tindakan terbabit dianggap tidak menghormati semangat muafakat dan rundingan dalam gabungan," katanya.
Hubungan PAS dan BERSATU kembali tegang apabila Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti diterajui Muhyiddin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.
Ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.

No comments:
Post a Comment