Hannah Yeoh
1. Saya menerima berita peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi dengan rasa sedih.
2. Tulisan ini khas ditujukan buat Nik. Saya mengenali beliau sejak pencalonan pertama saya pada tahun 2008. Kami sama-sama bertanding di kerusi DUN di bawah Parlimen Kelana Jaya. Ketika itu kami masih muda, kurang pengalaman dan tidak ramai yang menjangka kemenangan kami. Namun pilihan raya itulah yang mengubah landskap politik Selangor dan Malaysia.
3. Tahun demi tahun, kami membesar bersama dalam politik. Apabila saya dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor, Nik menjadi Timbalan Speaker. Beliaulah antara yang banyak mendorong saya memperkenalkan program ADUN Muda Selangor untuk para pelajar muda.
4. Kami juga pernah bersama menghadiri program kepimpinan Komanwel di United Kingdom dan Australia. Banyak forum, wawancara dan program kami lalui bersama. Anak sulung kami juga sebaya. Saya masih ingat ketika hamil anak pertama dan menghadiri kursus di London bersama Nik, saya mengidam kangkung belacan. Nik sanggup berjalan bersama saya mencari restoran Malaysia yang menjual hidangan itu.
5. Ketika buku saya, Becoming Hannah, difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab, Nik tampil mempertahankan saya dan buku tersebut. Beliau juga hadir memberi keterangan di mahkamah untuk saya.
6. Selepas 10 tahun berkhidmat di Selangor, kami berdua meninggalkan kerusi DUN masing-masing. Pada tahun 2018, kami bertanding di Kuala Lumpur dan dipilih sebagai Ahli Parlimen. Kami juga memperjuangkan isu pemeliharaan Taman Rimba Kiara dan Bukit Dinding di kawasan masing-masing.
7. Pada tahun 2022, kami sama-sama dilantik ke dalam Kabinet Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Nik seorang Menteri yang baik. Sebab itu saya turut berasa sedih apabila beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri dan kini sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.
8. Sepanjang 18 tahun dalam politik, saya telah melalui beberapa perpisahan dengan sahabat politik yang memilih haluan berbeza termasuk Syed Saddiq, Amira Aisya (MUDA), Shafie Apdal, Darell Leiking, Mohd Azis Bin Jamman (Warisan) dan kini Rafizi Ramli serta Nik melalui Bersama. Saya doakan yang terbaik buat mereka.
9. Dalam pilihan raya, kita bertanding mengikut undang-undang dan bersaing secara profesional. Akan ada yang menang dan kalah. Politik Malaysia telah banyak berubah dalam tempoh dua dekad ini. Hanya kerana kita tidak lagi berkongsi logo parti atau berada di pentas yang sama, itu tidak bermaksud kita perlu membenci antara satu sama lain.
10. Penyokong semua pihak terutama generasi muda, perlu memahami perkara ini. Berkempenlah atas dasar dan idea, bukan serangan peribadi. Jangan terlalu ghairah menjatuhkan sesama sendiri sehingga hilang nilai hormat dan kemanusiaan. Pada akhirnya, ramai daripada kita sebenarnya mahukan Malaysia yang lebih baik iaitu bebas rasuah, tidak dipisahkan oleh politik perkauman, dan lebih selamat untuk generasi akan datang.
11. Apabila bendera sudah diturunkan dan pentas politik kembali sunyi, yang tinggal ialah nilai persahabatan dan ihsan sesama manusia. Dalam politik, kita perlu tahu siapa musuh sebenar. Tiada gunanya menang satu pertempuran tetapi kalah dalam perjuangan yang lebih besar. Malaysia berhak mendapat kepimpinan politik terbaik, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
12. Semoga Tuhan memberkati usaha kita.
No comments:
Post a Comment