Tular di media sosial seorang individu menawarkan khidmat membeli kuota petrol RON95 bersubsidi daripada pemilik yang mahu “menjual” baki kuota BUDI95 mereka.
Perkara itu terbongkar menerusi perkongsian seorang pengguna di platform X yang memuat naik tangkap layar memaparkan individu terbabit secara terbuka mengajak orang ramai menjual kuota petrol subsidi masing-masing.
Lebih mengejutkan, individu itu didakwa menawarkan bayaran RM150 bagi setiap 200 liter kuota, manakala kuota 150 liter pula dibeli pada harga RM100.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan ramai apabila gambar yang dikongsi turut menunjukkan MyKad pemilik diserahkan kepada pembeli bagi membolehkan urusan pembelian kuota dilakukan.
Orang ramai mengecam perbuatan itu kerana ia bukan sahaja menipu subsidi kerajaan, malah turut membuka ruang kepada penyalahgunaan MyKad.
Selain itu ada yang mendakwa perbuatan ini seperti taktik penyeludupan bahan api berskala besar, memandangkan kuota yang dikumpul daripada ramai individu boleh disalurkan semula untuk keuntungan haram.
Untuk rekod, menerusi program BUDI95, setiap rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu layak mendapat 200 liter RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, dengan maklumat kuota tersebut disimpan dalam kad pengenalan (MyKad) pemilik.
Penggunaan melebihi had itu akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sebanyak RM3.87 seliter.
No comments:
Post a Comment