Malaysia Hargai Peranan Pakistan Dalam Rundingan Iran-AS – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia menghargai peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan membabitkan rundingan Iran-Amerika Syarikat, serta kesediaan negara itu menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu beliau dinyatakan ketika panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Shehbaz Sharif hari ini, yang turut menyentuh pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.

“Sewaktu panggilan telefon dengan rakan sejawat saya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, kami berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.

Perdana Menteri, Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei 2026. Foto Facebook Shehbaz Sharif

“Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau dan Shehbaz turut menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.

“Dalam hubungan ini, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau dan Shehbaz juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara serta mengambil langkah tegas bagi menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon.

“Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” ujar beliau.

No comments: