Pelan Hamzah Ambil Alih Bersatu, Singkir Muhyiddin

 

Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden enggan bersaing merebut jawatan Presiden daripada Muhyiddin pada pemilihan parti kerana faktor sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu masih kuat.

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Hamzah Zainudin didakwa menggunakan Pas dan Umno sebagai modal untuk memecah-belahkan Bersatu, sekali gus mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin Yassin.

Bekas setiausaha sulit kepada Muhyiddin, Dr Marzuki Mohamad, berkata langkah itu digerakkan dengan misi menjatuhkan Presiden Bersatu itu, sekali gus dilantik sebagai pemangku Presiden.

Menurut beliau, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden enggan bersaing merebut jawatan Presiden daripada Muhyiddin pada pemilihan parti kerana faktor sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu masih kuat.

Pelantikan Ahmad Samsuri menggantikan Hamzah sebenarnya memperlihatkan PN terus berdepan krisis dalaman biarpun Bersatu telah menyingkirkan Hamzah sebagai Timbalan Presiden.

Sebaliknya, katanya Hamzah dikatakan memujuk Muhyiddin mengusahakan pelan peralihan parti dengan bekas Ketua Pembangkang itu dinamakan sebagai Timbalan Presiden.

Ini kerana Perlembagaan Bersatu menetapkan Timbalan Presiden memangku jawatan Presiden apabila Presiden berhenti.

“Menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding, kemudian desak Muhyiddin supaya berundur. Selepas Muhyiddin berundur, dia (Hamzah) menjadi pemangku Presiden Bersatu.

Penganalisis melihat, tindakan pemecatan Hamzah tambah merobekkan kekuatan Bersatu yang telah dijangka dari awal lagi, namun tidak menyangka ia seteruk ini.

“Kemudian dengan sokongan Pas dan parti komponen PN, dia dilantik sebagai Pengerusi PN. Tanpa susah payah bertanding,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Pada 13 Februari lalu, media melaporkan Hamzah dipecat daripada Bersatu serta-merta kerana tindakannya melanggar Fasal 9.1.4 dengan perkara itu diputuskan Lembaga Disiplin, selaras Fasal 22.5 perlembagaan parti.

Jelas Marzuki, Hamzah pada asalnya tiada kedudukan dalam Bersatu sehinggalah Muhyiddin melantiknya sebagai Setiausaha Agung, kemudian endorse (sokong) beliau sebagai Timbalan Presiden.

Maksudnya, katanya Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden sebaliknya atas endorsement Muhyiddin.

“Muhyiddin pujuk Ahmad Faizal Azumu (Naib Presiden Bersatu) turun selangkah bertanding Naib Presiden untuk beri laluan kepada Hamzah menang jawatan Timbalan Presiden tanpa bertanding.

“Tugas Timbalan Presiden dalam Perlembagaan Bersatu ialah membantu Presiden, tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu, malah membuat gerakan menjatuhkan Presiden secara terang-terangan sejurus disahkan ke jawatan berkenaan,” katanya.

Tambah Marzuki lagi, dalam usaha mendesak pengunduran Muhyiddin, Hamzah melaksanakan pelannya dengan mempengaruhi ketua bahagian Bersatu menerusi gerakan mengumpul tandatangan.

“Lebih mudah ‘mempengaruhi’ 120 ketua bahagian Bersatu berbanding meraih sokongan ribuan perwakilan di semua bahagian dalam pemilihan parti,” kata bekas Timbalan Menteri Luar itu.

Kerjasama Bersatu, Pas dan Umno

Marzuki berkata, Hamzah dikatakan cuba mempengaruhi ketua bahagian Bersatu, menggunakan dakwaan kononnya beliau disokong Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bagi menjatuhkan Muhyiddin.

Malah, katanya Hamzah antara lain dikatakan mengusahakan kerjasama Bersatu-Pas-Umno untuk membentuk kerajaan dengan syarat Muhyiddin perlu disingkirkan sebelum kerjasama itu boleh dilaksanakan.

Pertembungan Abdul Hadi Awang dengan Muhyiddin Yassin makin ketara berkenaan pelantikan ketua pembangkang apabila Abdul Hadi berkeras perkara itu akan dibuat menjelang sidang Dewan Rakyat Jun depan namun Muhyiddin Yassin ia perlu dibuat segera.

Syarat itu, dakwanya ditetapkan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun dinafikan selepas beliau membuat semakan dengan beberapa pemimpin kanan parti berkenaan.

“Tiada syarat sedemikian. Malah mereka beritahu saya, Umno tidak percaya kepada Hamzah. Sebab inilah semua langkahnya untuk tebuk atap dari Dubai hingga Bangkok gagal.

“Selain itu, seorang bekas Ahli Parlimen Bersatu pro-Hamzah pernah memuat naik gambar pertemuan Abdul Hadi, Hamzah dan beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan Pas di ‘White House’ (pejabat Hamzah di Bukit Tunku) di Facebook.

“Beliau menjaja cerita kononnya di sinilah Abdul Hadi ‘endorse’ (sokong) Hamzah dan saya pernah ceritakan perkara ini kepada seorang pemimpin kanan Pas. Beliau menafikan pembabitan Abdul Hadi dalam gerakan Hamzah,” katanya.



No comments: