28 Mei 2026
Ramai kini mula memperkatakan tentang masa depan Bersama, parti yang diterajui Rafizi Ramli, baik nasibnya pada PRU16 akan datang atau hayatnya dalam jangka panjang di persada politik negara ini.
Berapa kerusi Bersama boleh menang pada PRU akan datang?
Mampukah Bersama menggugat PKR dan mengancam kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?
Selepas PRU16, apa nasib Bersama?
Selain pertanyaan seperti di atas yang paling banyak kedengaran, ada juga yang terus menghukum bahawa Bersama akan menerima nasib seperti Pejuang yang kalah dan hilang deposit di semua kerusi ditandinginya pada PRI lepas.
Untuk lebih memahami jangkaan timbul atau tenggelam nasib Bersama, mari kita lihat sejarah parti-parti yang pernah ditubuhkan sebelum ini berikutan pemimpin kanan kerajaan ketika itu berbalah dengan Presiden parti merangkap Perdana Menteri.
Sejarah 1 - Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 pada 1988 setelah berbalah dengan Tun Mahathir Mohamad berikutan pemilihan UMNO tahun 1987.
PRU pertama disertai Semangat 46 ialah pada 1990 dan meskipun parti pimpinan Tengku Razaleigh atau Ku Li tidak menang dan Tun Mahathir gagal dijatuhkan, tetapi kerjasama parti itu dengan PAS telah berjaya membuatkan UMNO/BN tewas di sebuah negeri iaitu Kelantan.
Sejak PAS menang di Kelantan hasil kerjasama dengan Semangat 46 pada 1990 itu, sampai sekarang UMNO/BN masih tidak berupaya untuk bangkit menawan semula negeri tersebut.
Ertinya, walaupun Semangat 46 sudah tiada, tetapi kesan kerjasamanya sebagai parti baharu dengan PAS pada tahun 1990 itu masih ada sehingga sekarang.
Sejarah 2 - Anwar dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 dan beliau kemudian menubuhkan PKR.
PRU pertama disertai PKR ialah pada tahun 1999 dan meskipun ketika itu Tun Mahathir juga gagal dijatuhkan, tetapi melalui kerjasama parti itu dengan PAS, sebuah lagi negeri iaitu Terengganu telah jatuh daripada kekuasaan UMNO/BN pada pilihan raya tahun tersebut.
Berikutan Anwar terus gigih berjuang melalui PKR, 24 tahun setelah ditubuhkan iaitu selepas PRU tahun 2022 lalu, Presiden PKR itu akhirnya berjaya menggapai kerusi Perdana Menteri menjadi mililnya.
Makna kata, jangan pandang ringan dengan parti yang baharu muncul, walaupun ia bermula kecil, sentiasa berdepan masalah dan ramai pemimpinnya keluar parti, tetapi ancamannya jangan diambil ringan.
Sejarah 3 - Bersatu ditubuhkan pada tahun 2016 susulan pemecatan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 kerana lantang bersuara tentang 1MDB.
Bersatu secara asasnya adalah hasil kolaborasi dua bekas pemimpin utama UMNO, Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin yang kemudian disertai beberapa bekas pemimpin UMNO lain.
PRU pertama disertai Bersatu ialah pada 2018 dan hasil kerjasama parti itu dengan PH, UMNO/BN berjaya ditumbangkan buat pertama kali pada pilihan raya tahun tersebut.
Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir kemudian mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tetapi berikutan Langkah Sheraton pada tahun 2020, Muhyiddin pula mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Hanya dalam tempoh relatif singkat iaitu tidak sampai lima tahun penubuhannya, dua pemimpin Bersatu telah berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri.
Sehingga PRU tahun 2022 yang lepas, Bersatu bersama PN masih merupakan parti yang ada pengaruh tersendiri, cuma perbalahan dengan Team Hamzah Zainuddin serta krisis dengan PAS menjadikan ia jadi tidak menentu.
Fakta yang tidak harus diabaikan bagi mereka yang sedang berkuasa ialah jangan pandang enteng dengan parti yang baharu diwujudkan.
Meneliti sejarah tiga parti itu dan membandingkan dengan kelahiran Bersama yang diterajui Rafizi dan Nik Nazmi, jelas didapati ada banyak persamaan yang mungkin membuatkan ia juga mampu memberi ancaman.
Jika Semangat 46, PKR dan Bersatu lahir kerana marah kepada UMNO dan ketuanya, Bersama adalah parti pertama yang lahir kerana juga marah kepada PKR dan ketuanya.
Sama ada sejarah Semangat 46, sejarah PKR, sejarah Bersatu atau sejarah Pejuang akan menimpa nasib Bersama selepas PRU akan datang, ia adalah penantian yang menarik untuk ditunggu.
Yang pasti, kewujudan Bersama secara langsung akan melemahkan PKR di mana parti itu bukan saja kehilangan ahli kerana beralih menyokong perjuangan Rafjzi, bahkan juga membuatkan PKR hilang pengundi atas pagar dan pengundi progresif yang selama ini menyokongnya.
Sesetengah pihak tidak ragu-ragu melihat Bersama adalah alternatif kepada suara reformasi yang selama ini dibawa PKR, tetapi kini didapati terlalu perlahan dan tidak serius untuk dilaksanakan.
Dengan kesan paling utama kepada PKR ialah daripada segi kehilangan ahli dan kehilangan undi kepada Bersama, ia seterusnya berpotensi membawa parti itu bakal kehilangan beberapa kerusi.
Barangkali terlalu awal untuk mengatakan Bersama mampu mengambil alih kerajaan dan menjatuhkan Anwar, tetapi kehadirannya secara tidak langsung memberi kelebihan kepada blok lain seperti PN dan BN untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen. - ShahbudinHusin 28Mei2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1296204542502662&id=100063393840098

No comments:
Post a Comment