Group WhatsApp ‘angel’ bawa padah, dedah remaja dibelasah?


 


Satu rakaman video memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan remaja lain mengundang kemarahan netizen selepas tular di media sosial sejak semalam.

Mangsa yang berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa serangan lima pelajar perempuan lain dalam kejadian yang berlaku di sekitar Kota Kinabalu minggu lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas video berdurasi kira-kira satu minit memaparkan mangsa dikepung dan dipukul di luar kawasan sekolah mula tersebar secara meluas di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi.

Menurut beliau, laporan dibuat sendiri oleh mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 22 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki selain kecederaan pada telinga kiri dan lutut.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Menurut polis, semua pelajar terbabit dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.

Siasatan awal juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum kumpulan pelajar terbabit mengepung dan memukulnya dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati.

Lebih membimbangkan, mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.

“Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tersebar di media sosial,” katanya lagi.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Rakaman video kejadian itu sebelum ini menerima kecaman ramai pengguna media sosial yang menyifatkan budaya buli melibatkan pelajar semakin membimbangkan.



No comments: