KHIDMAT WONG CHEN DITAMATKAN

 


Nengok Tv



Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dilaporkan tidak lagi memegang jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV) selepas tempoh perkhidmatannya ditamatkan oleh Kementerian Kewangan. 





Menurut Wong, beliau hanya dimaklumkan mengenai penamatan jawatan itu ketika hadir untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah MDV pada pagi Isnin lalu. 


Beliau mendakwa pihak pengurusan MDV memaklumkan bahawa mereka menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 25 Mei yang mengarahkan penamatan tugasnya berkuat kuasa 31 Mei 2026. 


Wong turut menyatakan rasa kecewa kerana tiada sebarang panggilan telefon atau penjelasan rasmi diberikan secara terus kepadanya berhubung keputusan tersebut. 


Dalam hantaran media sosialnya, Wong berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaian sepanjang hampir tiga tahun mengetuai MDV dan menyifatkan pengalaman itu sebagai antara yang paling bermakna dalam kerjayanya. 


Menurutnya, ketika mula mengambil alih jawatan itu pada Mei 2023, MDV berada dalam keadaan sukar termasuk merekodkan kerugian serta masalah moral kakitangan yang rendah. 


Beliau mendakwa antara langkah awal yang diambil ialah menyekat campur tangan politik dan memastikan semua permintaan dibuat melalui saluran rasmi bagi memperkukuhkan tadbir urus institusi kewangan tersebut. 


Wong turut mendakwa MDV berjaya kembali mencatat keuntungan kecil pada 2024 sebelum prestasi kewangan syarikat itu terus meningkat pada tahun berikutnya hasil reformasi dalaman yang dilakukan. 


Perkembangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Wong mendakwa akses pejabatnya ke portal MyKhas di bawah Jabatan Perdana Menteri disekat tanpa penjelasan rasmi. 


Terdahulu, Wong mempersoalkan mengapa hanya pejabat Parlimen Subang dikenakan sekatan akses sedangkan beberapa ahli Parlimen kerajaan lain masih boleh menggunakan sistem tersebut seperti biasa.






No comments: