Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyumbangkan sebanyak 260 ekor lembu korban kepada Parlimen Permatang Pauh sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 155 ekor lembu diagihkan menerusi Program Korban MADANI di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan.
Agihan tersebut melibatkan DUN Seberang Jaya sebanyak 54 ekor, DUN Penanti sebanyak 67 ekor dan DUN Permatang Pasir sebanyak 34 ekor lembu korban.
Selain itu, sebanyak 105 ekor lagi disumbangkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah untuk diagihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.
Menurut Anwar, ibadah korban bukan sekadar ritual agama, malah membawa mesej besar tentang ketaatan kepada Allah SWT serta semangat pengorbanan dalam kehidupan.
Beliau berkata semangat pengorbanan penting dalam perjuangan hidup kerana setiap cabaran memerlukan kesabaran dan daya tahan yang tinggi.
Anwar turut menjelaskan pendekatan baharu diperkenalkan tahun ini apabila peserta yang berkemampuan digalakkan menyumbang sebahagian kos bagi menjayakan ibadah korban tersebut.
Katanya, langkah itu mampu memberi lebih penghayatan kepada peserta mengenai makna sebenar ibadah korban selain mengeratkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa bantuan kepada fakir miskin dan golongan susah perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa menunggu mereka tampil meminta pertolongan.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis agihan lembu korban di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang serta meninjau perkembangan Projek Masjid Jamek Cherok Tok Kun sebelum meluangkan masa bersama keluarga di kampung halamannya.

No comments:
Post a Comment