BERITA TERGEMPAR | Rafizi Didakwa Membeli Parti Bersama Malaysia Dengan Harga RM8.6 Juta









Seminggu setengah yang lalu, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi menjadi perhatian hangat selepas meninggalkan PKR untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia.


Sebenarnya, sebelum Rafizi secara rasmi meninggalkan PKR lagi, saya sudah banyak menulis mengenai kemungkinan yang beliau akhirnya akan keluar daripada parti itu dan membentuk sebuah wadah politik baharu. Saya juga berhujah bahawa apa sahaja parti baharu yang dipimpin Rafizi berpotensi menjadi ancaman terbesar kepada dominasi politik Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.


Ketika ini, Anwar dan PH sedang berdepan tekanan dari pelbagai sudut. Mereka sedang menghadapi kebangkitan PN, ketidakpuasan hati yang semakin meningkat dari Sabah dan Sarawak, keresahan ekonomi, pemberontakan dalaman, kekecewaan penyokong sendiri dan juga tanda-tanda kegelisahan dalam Umno.


Tetapi dalam semua masalah yang di hadapi oleh PH dan Anwar,  pemberontakan Rafizi adalah masalahnya yang paling utama, kerana pemberontakkan Rafizi lah yang mencantumkan kesemua masalah PH and Anwar menjadi satu. 


Tanpa pemberontakan Rafizi, semua masalah yang dihadapi PH kekal sebagai isu-isu berasingan yang boleh diurus satu persatu. Tetapi tindakan Rafizi memberi kesatuan dan makna kepada semua krisis tersebut. Ia mewujudkan persepsi dalam kalangan pengundi bahawa PH sentiasa bergelumang dengan krisis kerana memang ada sesuatu yang tidak kena secara tabiinya dengan Anwar dan pimpinannya. 


Dengan kata lain, Rafizi sedang membentuk persepsi bahawa PKR dan Anwar hanyalah “reformis palsu”, manakala beliau pula mewakili semangat reformasi yang sebenar. Naratif yang semakin berkembang dalam kalangan penyokongnya ialah Rafizi diketepikan dalam PKR kerana beliau benar-benar serius dengan agenda reformasi, sedangkan Anwar dan pemimpin lain dalam PKR lebih mementingkan kuasa dan jawatan.


Cara Rafizi membawa diri selepas kalah dalam pemilihan PKR turut mengukuhkan persepsi tersebut. Beliau meletakkan jawatan menteri, dan kemudian melepaskan kerusi Parlimen Pandan selepas mengumumkan keluar daripada PKR. Bagi ramai penyokong, tindakan itu dilihat sebagai tingkah laku seorang pemimpin reformis yang berprinsip.


Namun hari ini, dakwaan bahawa Rafizi membayar RM8.6 juta untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia berpotensi memusnahkan persepsi tersebut — sekiranya dakwaan itu tidak dijawab dengan meyakinkan.


Kita juga perlu ingat bahawa Rafizi sendiri tidak pernah membangkitkan soal bahawa beliau membeli Bersama menggunakan wang.


Malah menurut Tan Gin Theam, pengasas Parti Bersama Malaysia yang menyerahkan parti itu kepada Rafizi dan Nik Nazmi seminggu setengah yang lalu, soal wang langsung tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan mereka.


Tan mendakwa bahawa sejak beliau pertama kali bertemu Rafizi awal tahun ini, perbualan mereka sepenuhnya berkisar tentang falsafah politik dan hala tuju masa depan negara — bukannya soal kewangan.


Tan juga menyatakan bahawa isu pampasan hanya dibangkitkan selepas beliau bersetuju untuk menyerahkan kawalan parti itu, apabila Rafizi didakwa menawarkan pampasan sebagai tanda hormat, tetapi beliau menolaknya secara tegas dan keras.


Namun kini, sebuah video tular di media sosial mendakwa bahawa Rafizi sebenarnya telah “membeli” Bersama dengan nilai RM8.6 juta.


Dakwaan itu mendapat lebih kredibiliti dan perhatian selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut berkongsi semula video tersebut.


Dalam video itu, seorang individu yang tidak mendedahkan identitinya mempersoalkan sumber dana berkenaan dan memberi bayangan kemungkinan wujud pengaruh kewangan asing dalam politik negara.


Dakwaan ini mengingatkan kita kembali kepada laporan-laporan terdahulu yang mendakwa gerakan belia Mandiri bertindak sebagai organisasi proksi untuk Rafizi, dengan dakwaan bahawa lebih RM1.5 juta dari sebuah organisasi asing  bernama Tides Foundation telah disalurkan kepada Mandiri.


Dakwaan ini juga mengingatkan kita bahawa Rafizi ketika ini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan satu urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion ketika beliau menjadi Menteri Ekonomi.


Secara peribadi, apabila saya mula-mula mendengar dakwaan bahawa Rafizi disiasat SPRM atau dituduh membenarkan campur tangan asing dalam politik negara, tuduhan-tuduhan itu tidak begitu menniggalkan sebarang kesan kepada saya.


Tetapi dakwaan RM8.6 juta ini berbeza.


Kalau saya mahu jelaskan sebabnya, saya akan katakan bahawa dakwaan ini memberi kesan yang jauh lebih mendalam kerana jika ia tidak dijawab dengan baik, ia berpotensi mengubah bagaimana penyokong dan pengundi melihat Rafizi.


Pada ketika ini, ramai pengundi  melihat Rafizi sebagai “orang kita” — mereka melihat Rafizi sebagai seorang yang telah digunakan dan kemudian disingkirkan oleh Anwar dan PKR, seperti mereka juga telah digunakan dan disingkirkan oleh Anwar dan PKR,  kerana Rafizi - seperti juga bekas pengundi dan penyokong PKR and Anwar - benar-benar percaya kepada reformasi dan perubahan, sedangkan kepimpinan parti pula lebih mementingkan kuasa serta kelangsungan politik.


Sebab itu dakwaan-dakwaan terdahulu berkaitan rasuah atau campur tangan asing mudah ditolak oleh penyokong sebagai sekadar satu kes “ the empire strikes back.”


Malah, dakwaan-dakwaan yang di lemparkan pada Rafizi sebelum ini juga mungkin mengukuhkan lagi imej Rafizi sebagai seorang reformis yang berani. Beliau dan Nik Nazmi mula dilihat penyokong  dan pengundi seperti watak Luke Skywalker dan Han Solo — pemberontak yang melawan sebuah sistem politik yang besar dan tidak berintegriti walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dan tekanan.


Namun dakwaan RM8.6 juta ini berpotensi mengubah persepsi itu sepenuhnya.


Daripada melihat Rafizi sebagai underdog yang berani menentang sistem politik yang tidak berintegrati,  tidak boleh di percayai  dan tidak mahu berubah,para penyokong dan pengundi mungkin mula melihat Rafizi sekadar sebagai ahil politik dua kali lima — yang memberontak kerana salah faham dengan kelompok dominan, dan bukannya kerana dia benar benar berbeza dengan mereka. 


Itu akan menjadi sesuatu yang sangat merbahaya dari sudut politik buat Rafizi, kerana aset politik terbesar beliau bukanlah kekuatan organisasi atau jentera, tetapi persepsi moral terhadap dirinya.


Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas dengan lebih panjang tentang isu ini sehingga kita tahu dengan lebih lanjut lagi tentang kes RM 8.6 juta ini  — buat masa ini, cukup lah untuk saya katakan bahawa isu ini adalah sesuatu isu yang perlu di jawab oleh Rafizi dan Bersama dengan menyakinkan, atau mereka akan menerima padahnya. 


Jadi buat sementara waktu, marilah kita tunggu dan lihat bagaimana Rafizi dan Bersama akan menanganinya, dan mereka kemungkinan akan menanganinya dalam masa sehari dua lagi. 


𝙉𝙤𝙩𝙖: 𝙆𝙚𝙥𝙖𝙙𝙖 𝙢𝙚𝙧𝙚𝙠𝙖 𝙙𝙖𝙡𝙖𝙢 𝙧𝙪𝙖𝙣𝙜 𝙠𝙤𝙢𝙚𝙣 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙢𝙖𝙨𝙞𝙝 𝙧𝙖𝙜𝙪-𝙧𝙖𝙜𝙪 𝙨𝙖𝙢𝙖 𝙖𝙙𝙖 𝙞𝙣𝙞 𝙨𝙚𝙠𝙖𝙙𝙖𝙧 𝙗𝙚𝙧𝙞𝙩𝙖 𝙘𝙚𝙥𝙡𝙤𝙨, 𝙨𝙖𝙮𝙖 𝙞𝙣𝙜𝙞𝙣 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙚𝙧𝙞𝙩𝙖𝙝𝙪 𝙗𝙖𝙝𝙖𝙬𝙖 𝙗𝙚𝙧𝙞𝙩𝙖 𝙞𝙣𝙞 𝙩𝙚𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙪𝙣 𝙙𝙞𝙡𝙖𝙥𝙤𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙤𝙡𝙚𝙝 𝙢𝙚𝙙𝙞𝙖 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙨𝙚𝙥𝙚𝙧𝙩𝙞 𝙏𝙝𝙚 𝙑𝙞𝙗𝙚𝙨, 𝙐𝙩𝙪𝙨𝙖𝙣, 𝙎𝙞𝙣𝙖𝙧 𝙃𝙖𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙙𝙖𝙣 𝙡𝙖𝙞𝙣-𝙡𝙖𝙞𝙣.


Kredit imej : Bersama / The Malaysian Reserve


#RafiziRamli #fahmifadzil #PartiBersamaMalaysia #AngkatanMudaKeadilan #therealnehruism




No comments: