KJ TANDING DI KEPALA BATAS?
19 Mac 2023
Apabila KJ atau Khairy Jamaluddin membuat keputusan kembali kepada UMNO dan PRU16 pula mungkin diadakan tidak lama lagi, persoalan yang mula berlegar ialah, di manakah beliau akan bertanding?
Ramai yang membuat spekulasi KJ akan bertanding sekali lagi di Parlimen Sungai Buloh.
Untuk KJ bertanding semula di Sungai Buloh, ia boleh dikata sukar menjadi kenyataan kerana UMNO dan PKR kini masih bersama dalam kerajaan madani.
Tidak mungkin UMNO akan meletakkan calon di kawasan yang sedia diwakili oleh Ahli Parlimen daripada PKR, selagi kedua-dua parti kekal bekerjasama.
Pun begitu, kiranya UMNO/BN memilih bertanding solo di 115 kerusi sebagaimana yang heboh diperkatakan, kawasan Parlimen Sungai Buloh juga bukan lagi kawasan yang ada harapan buat UMNO.
Ini kerana dengan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan sudah bergelar menteri sekarang ini, pasti lebih sukar kedudukannya untuk digugat.
Dulu, waktu PRU tahun 2022, ketika tanpa apa-apa jawatan kerajaan pun Ramanan berjaya menewaskan KJ yang ketika itu berjawatan menteri dengan majoriti 2693 undi, apatah lagi sekarang setelah beliau bergelar menteri manakala KJ tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, kelebihan sudah tentu memihak kepada Menteri Sumber Manusia itu.
Jika boleh menolak, lebih baik KJ menolak kiranya UMNO mencadangkan namanya di Sungai Buloh.
Dalam pada itu, untuk KJ kembali bertanding di Rembau, kawasan lamanya sebelum ini adalah juga mustahil.
Ini kerana Parlimen Rembau sekarang diduduki oleh Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar Negeri.
Tiada ruang untuk KJ mengambil alih tempat Tok Mat itu selagi bekas Menteri Besar Negeri Senbilan itu sihat walafiat dan seronok dengan jawatannnya dalam parti dan kerajaan sekarang.
Satu-satunya kawasan yang berpotensi untuk KJ bertanding ialah Kepala Batas, kawasan yang sebelum ini sinonim dengan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tun Abdullah atau Pak Lah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal (1978 -2018) sebelum diganti oleh bekas Setiausaha Politiknya, Reezal Merican Naina Merican bermula 2018 hingga 2022.
Parlimen Kepala Batas sekarang dipegang oleh Dr Mastura Muhammad daripada PAS yang berjaya menewaskan Reezal Merican dengan majoriti 2867 undi pada PRU15 lalu.
Reezal bagaimanapun sekarang adalah ADUN Bertam, satu kawasan DUN dalam Parlimen Kepala Batas yang dimenanginya pada PRN 2023.
Sebagai menantu kepada Almarhum Pak Lah yang sinonim dengan Kepala Batas, ditambah dengan KJ sendiri yang mempunyai tarikan terhadap pengundi muda khususnya, beliau berpotensi besar mampu mengembalikan kerusi Parlimen tersebut kepada milikan UMNO semula.
KJ untuk Kepala Batas, PAS pun akan ‘berkipas’ untuk mengekalkan kerusi Kepala Batas. - ShahbudinHusin 19Mac2026.
No comments:
Post a Comment