Ucapan Anwar Ibrahim ketika melancarkan produk YTL Group UK. (15.1.25)



Sewaktu berucap pada pelancaran produk oleh YTL Group UK, saya maklumkan hadirin bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjadi saluran kritikal untuk memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK). Ini adalah manfaat susulan perjanjian tersebut sebagai tanda komitmen politik serius yang memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas. Syabas kepada YTL kerana menjadi pelabur terbesar Malaysia di UK hasil perjanjian tersebut sekaligus mengubah Bristol Brabazon, bekas tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan pembangunan utama yang menempatkan pelbagai kemudahan penting.
Antaranya, kemudahan tempat kerja, sekolah, taman bandar baharu, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan kawasan hijau dalam tempoh 15 tahun selain turut melibatkan pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi.
Dalam ucapan, saya turut maklumkan bahawa Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia mengambilkira polisi kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan dan semikonduktor selain faktor kestabilan politik.
Saya maklumkan, untuk refleksi transisi kemajuan ekonomi dan kejayaan, Malaysia perlu sokongan para pelabur tempatan dan luar negara disokong dengan faktor kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu.