Ladang Solar Di UK Pamer Kemampuan Malaysia Pacu Penyelesaian Tenaga Lestari – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis pelancaran 'Additional 102MW Eastfield and Bunkers Solar Farms: Showcasing TNB’s Growth In Renewable Energy In The United Kingdom' pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

LONDON, 17 Jan – Pengoperasian Ladang Solar Eastfield and Bunkers Hill dengan janaan tenaga 102 megawatt (MW) dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di United Kingdom (UK) mempamerkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang kini dalam lawatan kerja di negara berkenaan berkata, TNB memiliki, membangun dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh UK dan Ireland.

“Syabas dan sekalung penghargaan kepada TNB,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis pelancaran ‘Additional 102MW Eastfield and Bunkers Solar Farms: Showcasing TNB’s Growth In Renewable Energy In The United Kingdom’ pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Berucap pada majlis pelancaran ladang solar berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan tentang kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.

“Usaha dalam bidang itu termasuk di UK pasti bermanfaat disokong dengan kajian dan penerokaan TNB dan daya cipta daripada pemain korporat serta para profesional bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis pelancaran ‘Additional 102MW Eastfield and Bunkers Solar Farms: Showcasing TNB’s Growth In Renewable Energy In The United Kingdom’ pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Impaknya kelak akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi industri peralihan tenaga utama,” ujarnya.

Manakala dalam hantaran berasingan, terdahulu Perdana Menteri berkata, misi lawatan kerja beliau ke UK semalam diteruskan melalui pertemuan dengan beberapa kapten industri merangkumi pelbagai syarikat utama di negara tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Battersea Power Station bagi meninjau infrastruktur yang dibangunkan secara bersama oleh beberapa konsortium Malaysia di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Antara syarikat yang mengadakan pertemuan dengan beliau ialah Standard Charted PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC, Raw Energy dan Yondr yang merupakan platform kritikal bagi memperbaharui dan menerokai peluang perniagaan, pelaburan dan perdagangan di Malaysia.

“Moga pertemuan ini dapat melonjakkan prestasi ekonomi negara ke tahap lebih baik, Insya-Allah,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Battersea Power Station bagi meninjau infrastruktur yang dibangunkan secara bersama oleh beberapa konsortium Malaysia di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar turut memaklumkan beliau dan delegasi termasuk Tengku Datuk Seri Zafrul dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkesempatan melawat Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kata beliau, ketersediaan segala infra di situ mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbabit ke tahap lebih tinggi di masa hadapan.