RAKYAT SABAH TETAP TOLAK PAS DAN BERSATU! BORNEO TOLAK PARTI TUNGGANG IS...



KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik khususnya parti tempatan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang. Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya cenderung untuk bekerjasama dengan parti yang mempunyai hala tuju dan gerak kerja sama dengan pihaknya. "Kita tidak mahu bercakap besar tetapi yang penting kepada kita adalah untuk menentukan kita mempunyai sikap terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang sama cara kepimpinan, tahu untuk menentukan masa depan negeri rakyat Sabah ini. "Kita dalam waktu ini adalah sebuah parti yang saya kata terbuka, tidak ada perbincangan formal tetapi secara tidak formal, Ronald sudah bertemu dengan ramai rakan-rakan di Sabah," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Jelajah Bersatu Sabah 2025 bertempat di Padang Taman Sepanggar, di sini, semalam. Turut hadir, Naib Presiden BERSATU merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi BERSATU Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden BERSATU itu turut berkata pihaknya turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menganggap PN tidak lagi wujud di negeri ini. "Kerana ramai daripada pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengatakan bahawa BERSATU sudah tidak wujud lagi. "Hari ini, ia (program jelajah) menunjukkan bahawa kita tidak hanya dapat mengumpulkan ahli kita tetapi juga dapat melihat penyokong yang bukan menjadi ahli kita. "Ini memberikan semangat kepada saya bukan hanya sebagai timbalan presiden tetapi juga sebagai salah seorang yang akan berperanan sama dengan Datuk Seri Ronald dalam PRN Sabah nanti untuk kita mencapai kemenangan," katanya.