Kes melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali bersama isteri, Azura Md. Yusof dan 20 lagi individu yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Selain Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, 20 lagi individu yang didakwa ialah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, dan Shuhaimi Mohamed, 56.
Turut didakwa Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd. Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Tertuduh lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, serta Siti Salmiah Ismail, 57.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Pada 22 Oktober lalu, mereka didakwa di mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang kumpulan GISBH di sebuah lokasi di Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Terdahulu, semasa prosiding, peguam Datuk Rosli Kamaruddin tidak membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.