BERITA HARIAN
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perincian kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan Belanjawan 2025, dijangka Oktober ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata pengumuman mengenai pelarasan gaji yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.
"Kita dengar pengumuman yang sangat positif bagaimana sebelum ini kajian semula Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dibuat untuk penjawat awam. Kali terakhir (peningkatan gaji) adalah sekitar 13 peratus.
"Tetapi menjadi komitmen Kerajaan Madani, (peningkatan gaji) adalah lebih tinggi daripada itu. Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberikan komitmen kepada pekerja swasta mengenai dasar gaji progresif membabitkan 1,000 syarikat tempatan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta oleh Kementerian Ekonomi bermula Jun ini," katanya selepas Sambutan Hari Pekerja 2024, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, berikutan pengumuman dibuat Perdana Menteri itu, tahun ini akan menyaksikan peningkatan gaji dalam sektor kerajaan dan swasta yang agak tinggi.
Sementara itu, beliau berkata, apa yang diumumkan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa perjuangan 16.5 juta pekerja di negara ini untuk membanteras rasuah.
"Kerana duit yang dapat diselamatkan itu seharusnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk gaji yang lebih baik atau elaun lebih tinggi. Inilah apa yang diperjuangkan oleh kerajaan sekarang," katanya.