BERTEMU DENGAN PIMPINAN DUNIA ISLAM


 Alhamdulillah, saya sempat berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud sebelum berangkat pulang ke tanah air.




Kunjungan ini menutup lawatan saya ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak malam kelmarin.


Perbincangan kami menyentuh soal hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi serta isu-isu serantau. Saya zahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan yang dipamerkan Kerajaan Arab Saudi terkait urusan hal ehwal umat Islam, termasuk dalam konflik Palestin-Israel.


Saya lontarkan pandangan betapa seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.


Di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan.


Perbincangan kami turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara. Saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.


Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa.


Saya maklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan, termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China.


Penghargaan turut saya berikan kepada Kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini.


Di akhir pertemuan, saya mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.


Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah.


#MalaysiaMADANI



No comments: