JIKA MB PERLIS RASA MEMANG BELIAU ADA BUAT SALAH, ELOKLAH SEGERA LETAK JAWATAN



Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dilaporkan sudah selesai memberi keterangan kepada SPRM dan telah pun dibenarkan pulang.


Beliau dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi iaitu hanya sehari selepas sebuah laporan berdasarkan sumber agensi tersebut mendedahkan seorang pemimpin kanan di negeri utara tanah air sedang disiasat berkaitan kes rasuah.


Sumber SPRM memberitahu, pemimpin yang tidak dinamakan itu disyaki melantik beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kepentingan dengannya bagi projek pembekalan kerajaan dianggar bernilai RM300,000.


Perbuatan itu dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 lalu.


“Pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.


“Projek berkenaan dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin terbabit dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.


“Syarikat-syarikat itu turut disyaki mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu bagi kerja-kerja terbabit selain diberikan komisyen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.


“Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber itu lagi.


Sebelum ini pada 24 April lalu, anak Mohd Shukri adalah antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan dalam kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.


Dikatakan turut direman ialah pegawai kanan di pejabat Menteri Besar Perlis.


“Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun itu dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.


“Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.


“Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis,” kata sumber yang mengetahui mengenai penahanan tersebut.


Dalam keseluruhan kes ini yang kini menjadi perbualan di seluruh negara, selain ia amat mengejutkan kerana Mohd Shukri belum pun setahun setengah memegang jawatan Menteri Besar, hanya dirinya juga yang tahu sama ada beliau dan anaknya terlibat dalam kes yang sedang disiasat SPRM itu atau sebaliknya.


SPRM sudah pasti sedang mengumpul bukti dan keterangan untuk proses pendakwaan di mahkamah dalam waktu terdekat ini kiranya sudah cukup bukti untuk mereka berbuat demikian.


Tetapi, sebagai pemimpin politik sebuah parti Islam yang seharusnya mereka paling jauh daripada terjerumus dengan kes-kes sakau seperti ini, tambahan lagi anak Mohd Shukri itu juga dikatakan adalah menantu kepada Presiden Pas, Hadi Awang, tindakan awalan yang terpuji haruslah dilakukan dengan kadar segera.


Tindakan terpuji itu tidak lain ialah Mohd Shukri mesti secara sukarela melepaskan jawatannya jika benar beliau terlibat dalam salah guna kuasa sepertimana yang sedang disiasat SPRM itu.


Jangan tunggu diheret ke mahkamah untuk berbuat demikian, tanya diri sendiri ketika di atas tikar sembahyang.


Beliau dalam hal ini mesti jujur kepada dirinya, jujur kepada partinya, jujur kepada rakyat dan jujur kepada Tuhan. – ShahbudinHusin 30April2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/30/jika-mb-perlis-rasa-memang-buat-salah-eloklah-segera-letak-jawatan.html



No comments: