KEADILAN Pulau Pinang yakin sapu bersih kerusi ditandingi



KEADILAN Pulau Pinang menyatakan keyakinan mereka mampu menang kesemua 13 kerusi yang dipertandingkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) akan datang.

Keyakinan itu dinyatakan Penasihat Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, Datuk Law Choo Kiang sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ramah Mesra Mantan ADUN dan Calon PRN15 Pulau Pinang di Bayan Lepas, pada Rabu.

“Saya yakin ini merupakan gabungan yang begitu kuat kerana kita ada calon daripada pelbagai latar belakang.

“Sasaran kita memang untuk menang semua kerusi lah dan kita tidak akan bertolak ansur kerana penggal sebelum ini juga kita telah memenangi kesemua kerusi,” katanya merujuk kebolehan calon-calon dinamakan termasuk muka-muka baharu.

Sementara itu jelasnya, semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang daripada parti itu yang tidak dicalonkan bertanding pada PRN kali ini memberi sokongan kepada semua 13 calon yang telah diumumkan.

Malah kesemua bekas ADUN juga telah menyerahkan bilik gerakan pilihan raya berserta jentera mereka kepada calon-calon baharu yang akan bertanding PRN.

“Semua pihak akan bekerjasama termasuk cabang parti, rakan komponen parti dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dalam membantu calon-calon untuk memastikan kemenangan kepada parti,” katanya..


No comments: