APA SALAHNYA JIKA PRN INI SUATU REFERENDUM TERHADAP ANWAR?


Hakikat bahawa PN mahu menjadikan keputusan PRN enam negeri pada 12 Ogos ini sebagai landasan untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukanlah suatu rahsia lagi.


Para pemimpin mereka amat yakin jika PN menang empat atau lima negeri dalam PRN itu nanti, ia adalah petanda kerajaan perpaduan tidak diterima rakyat, sekaligus juga bererti penolakan terhadap kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri.


Seterusnya, mereka percaya akan menyusul selepas itu ialah terbentuknya sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan perpaduan sedia ada serta hadirnya seorang Perdana Menteri baharu.


Dalam erti kata lain, keputusan PRN enam negeri nanti, bagi PN adalah suatu referendum terhadap Anwar.


Berdepan gelombang keghairahan PN yang kian memberahi itu, sentiasa saja ada pemimpin PH/BN atau kerajaan perpaduan yang tampil menangkis dan menolak perkara tersebut.


Mereka berhujah, PRN ini adalah pilihan raya peringkat negeri semata-semata yang hanya bertujuan untuk membentuk kerajaan negeri dan tiada kaitan dengan kerajaan pusat atau kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri.


Siapa pun yang menang nanti, kata mereka, kerajaan di peringkat pusat tidak akan tergugat kerana Adun-Adun yang baru terpilih itu tidak mampu mengusulkan apa-apa undi terhadap Anwar.


Kata mereka, Anwar hanya boleh dijatuhkan jika beliau berjaya dikalahkan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat oleh Ahli-Ahli Parlimen saja.


Dalam hal ini, meski dicabar Anwar beberapa kali untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya, PN tetap tiada keberanian melakukannya.


Disebut lagi oleh mereka yang berada dalam kerajaan perpaduan, bagaimana PRN ini mahu dikaitkan dengan referendum, sedangkan ia hanya melibatkan enam negeri dan tidak merangkumi seluruh Malaysia?


Dengan segala hujah yang dikemukakan itu, PH/BN dan pimpinan kerajaan perpaduan pada umumnya menolak mentah-mentah PRN enam negeri 12 Ogos ini sebagai referendum terhadap Anwar.


Wajarkah cakap-cakap referendum oleh PN itu ditolak dan disanggah mentah-mentah oleh PH/BN dan pimpinan kerajaan perpaduan?


Isunya di sini, semakin isu referendum yang dimainkan PN itu ditolak, ia seperti memberi lebih semangat kepada mereka untuk membuktikan penolakan terhadap Anwar itu benar-benar menjadi kenyataan.


Secara psikologi juga, menolak mentah-mentah hakikat referendum itu dengan sendirinya memperlihatkan PH/BN dan kerajaan perpaduan sedang lemah, tidak mampu berlawan dan sedia dikalahkan dalam PRN nanti.


Untuk berlawan secara anak jantan dan memperlihatkan kerajaan perpaduan ini benar-benar kuat, tidak lemah dan sanggup berdepan apa juga cabaran, apa lagi bersandarkan majoriti dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen yang dimiliki, pimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan sepatutnya menyahut cabaran referendum itu dengan terbuka dan sedia berlawan dengannya.


Mereka seharusnya menunjukkan sikap mahu berlawan dan membuktikan keinginan untuk mencipta kemenangan, dan akhirnya referendum itu menyebelahi Anwar dan kerajaan perpaduan.


Dengan segala kekuatan yang ada dan kuasa sebagai kerajaan di peringkat pusat, PRN ini sepatutnya dimanfaatkan oleh PH/BN sebagai referendum yang mampu menekan lagi PN.


Jika PH/BN mampu menekan blok pembangkang dan mencipta kejayaan gemilang dalam PRN ini, PN akhirnya tiada pilihan lain melainkan terpaksa bersabar sehingga PRU16 akan datang untuk menukar kerajaan.


Sebab itu, menolak dan menyanggah mentah-mentah PRN ini sebagai referendum adalah suatu sikap yang silap kerana ia hanya memperlihatkan kerajaan perpaduan sedang lemah, mengalah dan tiada daya melawan untuk berdepan PN.


Hello…janganlah mengalah sebelum berlawan dan sebelum peluh membasahi badan.


Lagi pun, dengan adanya hujah bahawa PRN tidak mungkin menyebabkan Anwar dapat dijatuhkan, ia hanya pilihan raya peringkat negeri dan macam-macam hujah lagi yang tidak pun memihak kepada PN, kenapa dalam masa yang sama, PH/BN takut pula dengan referendum yang digembar-gemburkan itu?


Sepatutnya terimalah referendum itu sebagai pemberi semangat dan tonik kekuatan untuk tambah bekerja kuat mengukuhkan lagi kedudukan Anwar dan bukan jadi tertekan kerananya. – ShahbudinHusin 02/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: