Nelayan berkelayakan di Pulau Pinang yang terlibat projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) tetap akan mendapat manfaat pakej Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) seperti dijanjikan.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Mohd Sayuthi Bakar dalam satu kenyataan merujuk keputusan Kerajaan Negeri mengecilkan skop projek itu baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri selaku pemilik projek itu membuat keputusan tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 21 Jun lepas untuk mengekalkan pakej SIMP seperti yang diumumkan kepada nelayan dahulu.
“Keputusan ini bermakna pakej SIMP yang dijanjikan kepada nelayan tahap 1 dan 2 tidak berubah iaitu tekong dan awak-awak dari unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar, dan Gertak Sanggul tetap layak menerima manfaat untuk nelayan iaitu bantuan bot dan enjin serta jeti. Jumlah bantuan sagu hati juga tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan negeri pada Mei lalu memaklumkan projek itu yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran bagi membina tiga pulau buatan, dikecilkan kepada pembinaan sebuah pulau sahaja iaitu Pulau Silikon atau Pulau A, yang berkeluasan 920 hektar.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, projek membabitkan Pulau B yang berkeluasan 560 hektar dan Pulau C seluas 320 hektar tidak diteruskan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Kerajaan Negeri mengkaji supaya skop PSI dikecilkan.
Sementara itu Sayuthi berkata, program bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP yang dirangka khas untuk nelayan dari kawasan PSI sememangnya dirangka khas untuk nelayan dari kawasan PSI.
Sumbangan peralatan lain seperti robot, sonar, dan sistem kedudukan global (GPS) di bawah skim sama bertujuan membantu golongan itu terutama nelayan selatan Pulau Pinang untuk mencari pendapatan.