YANG PENTING, MAHUKAH MAHIADDIN BEKERJASAMA DENGAN MAHATHIR?



Dalam perkembangan terbaru, tetapi langsung tidak mengejutkan, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Mahiaddin Md Yasin dan PN bagi memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.


Katanya, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama dalam kerjasama itu, selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.


Tambah Tun Mahathir, masyarakat Melayu yang berpecah mengikut politik kepartian mengakibatkan parti politik Melayu sukar untuk memperbetulkan sebarang keadaan.


“Kita hendak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita (Melayu) berpecah jadi banyak parti, kita hilang kuasa.


“Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,” katanya dalam wawancara dengan sebuah portal.


Ehh..ehh…apa Tun Mahathir cakap ni?


Pertama, kenapa belum apa-apa lagi, beliau telah meletakkan syarat yang seolah-olah mahu menjadikan Proklamasi Melayu yang diperjuangkannya sebagai matlamat utama dalam kerjasama dengan Mahiaddin dan PN itu?


Dalam keadaan sekarang, siapa memerlukan siapa?


Tun Mahathir memerlukan Mahiaddin dan PN atau Mahiaddin yang memerlukan Tun Mahathir?


Semua kita tahu Tun Mahathir kini dalam keadaan terdesak untuk mencari kekuatan baru setelah kalah teruk dan ditolak oleh orang Melayu sendiri pada PRU15 lalu.


Tujuannya menggerakkan Proklamasi Melayu tidak lain ialah sebagai platform untuk berpolitik dan menekan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.


Begitu pun, Proklamasi Melayu itu sendiri tidak mendapat sambutan yang menggalakkan di mana Marzuki Yahya, Pengerusi Seketariatnya baru-baru ini memaklumkan hanya 20 ribu orang telah menandatanganinya.


Dengan itu, sudah tentu Tun Mahathir perlukan rakan kerjasama baru bagi memastikan Proklamasi Melayu tidak gagal, sebagaimana gagalnya parti Pejuang yang ditubuhkannya dan kini berpecah dengan anaknya sendiri, Mukhriz.


Mudah cerita, sebenarnya Tun Mahathirlah yang memerlukan Mahiaddin dan PN, berbanding Mahiaddin dan PN barangkali langsung tidak memerlukan Tun Mahathir.


Hakikatnya, pencapaian PN yang dikira baik dalam PRU15 lalu adalah dicapai tanpa bantuan dan kerjasama dengan Tun Mahathir.


Meletakkan syarat yang memperlihatkan seperti agenda Proklamasi Melayu mesti dibawa sebagai syarat kerjasama ternampak langsung tidak kena.


Soalan pokoknya, di mana pentingnya Proklamasi Melayu yang diperjuangkan oleh Tun Mahathir kepada Mahiaddin dan PN?


Apakah tanpa Proklamasi Melayu, Mahiaddin dan PN tidak memperjuangkan nasib Melayu?


Kedua, Tun Mahathir juga menyebut kerjasama itu mesti menolak individu yang terpalit dengan rasuah dan salah laku jenayah.


Sekali lagi, ehhh….apa ni?


Dengan keyakinan mustahil Tun Mahathir sudah nyanyuk, tidak ingat atau terlupa bahawa Mahiaddin sendiri sedang didakwa di mahkamah, adalah jelas terdapat maksud tersirat lain dalam kerjasama yang diingininya itu.


Tun Mahathir dengan mudah difahami sebenarnya mahukan beliau mengetuai blok pembangkang dengan menjadikan Proklamasi Melayu sebagai tempelan yang berada di atas perjuangan PN yang ketika ini diketuai Mahiaddin yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah itu.


Walaupun dalam kemelut politik 2020 dulu, Tun Mahathir secara terbuka dan berulangkali menuduh Mahiaddin sebagai pengkhianat sebenar kerana terlalu bercita-cita ingin jadi Perdana Menteri, kini beliau nampaknya sudah sedia untuk menjilat kembali ludahnya sendiri.


Tun, tak rasa gelikah mahu bekerjasama dengan seorang pengkhianat?


Itulah Tun Mahathir, tiada sebab lain mengapa beliau tiba-tiba sedia untuk bekerjasama dengan Mahiaddin, melainkan kerana melihat ada peluang terbuka sedang terbentang di depan matanya.


Sebab itulah agaknya Pas dan Hadi Awang awal-awal lagi telah ditemuinya bagi menyokong Proklamasi Melayu.


Perlukah Mahiaddin menyambut huluran tangan Tun Mahathir?


Sebagaimana disebut di awal tadi, yang lebih memerlukan kerjasama ini ialah Tun Mahathir dan bukannya Mahiaddin.


Mahiaddin boleh saja terus bersikap “sejuk dan keras” terhadap kenyataan Tun Mahathir ini kerana tiada untung dan tiada rugi jika tidak melayannya.


Jika benar Tun Mahathir ingin bekerjasama, beliau perlu datang kepada Mahiaddin dan PN tanpa syarat dan jangan dengan apa-apa agenda mahu jadi ketua.


Mahiaddin sudah mengetuai PN, maka Tun Mahathir bersama gerombolannya mesti datang ke dalam PN sebagai pengikut yang wajib menerima Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai ketua.


Tiada nilai tambah sama sekali kepada PN dan Mahiaddin jika bekerjasama dengan Tun Mahathir, sebaliknya Tun Mahathir dan Proklamasi Melayu itulah yang mahu menjadikan PN memberi nilai tambah kepada mereka.


Sebab itu, yang penting bukanlah bila mana Tun Mahathir menyatakan ingin bekerjasama dengan Mahiaddin kerana yang lebih penting daripada segala-galanya, mahukah Mahaddin bekerjasama dengan orang yang pernah melabelnya sebagai pengkhianat? – ShahbudinHusin 02/06/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: