Sekali lagi Anwar Ibrahim mencatat sejarah apabila beliau buat pertama kali akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023), minggu depan selepas kali terakhir menghadirinya pada PAU tahun 1997, kira-kira 26 tahun yang lalu.
Tahun 1997 adalah kali terakhir Anwar menghadiri PAU di mana ketika itu beliau memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 2 September 1998 oleh Tun Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, pada 7 Februari baru-baru ini, Anwar buat kali pertama sejak dipecat pada 1998 berpeluang menjejakkan kaki ke Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, WTCKL kerana mempengerusikan mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan manakala pada 14 Mei pula berucap di pentas Dewan Merdeka, juga pertama kali selepas lebih 25 tahun, dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dihadiri perwakilan semua parti kerajaan perpaduan.
Pada 9 Jun ini, Anwar selaku Presiden PKR akan dijemput bersama pemimpin-pemimpin parti yang membentuk kerajaan perpaduan menghadiri PAU2023 di Dewan Merdeka, WTCKL.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Anwar yang merupakan Perdana Menteri, malah akan menjadi tetami kehornat PAU kali ini.
“Ini akan menjadi detik bersejarah,” kata beliau sebagai mengesahkan jemputan dan kehadiran Anwar selaku Perdana Menteri bersama pemimpin parti-parti lain, termasuk DAP pada PAU2023 nanti.
Cukupkah Anwar dijemput sebagai tetamu kehormat saja?
Ketika UMNO berkuasa, setiap tahun PAU akan dirasmikan oleh Presidennya yang juga merupakan Perdana Menteri.
Tetapi, sejak hilang kuasa pada 2018, PAU selepas itu sekadar dirasmikan oleh Presidennya yang juga Pengerusi BN, tetapi tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan.’
Semenjak itu, PAU seperti sudah hilang seri dan kemeriahannya.
Terlanjur sempena PAU2023 ini di mana UMNO nampaknya mula bersikap terbuka sejak berada dalam kerajaan perpaduan dengan menjemput Perdana Menteri daripada lain parti sebagai tetamu kehormat, disertai pemimpin lain-lain parti yang bersama-sama membentuk kerajaan, maka alangkah baiknya jika Anwar bukan sekadar dijadikan tetamu kehormat semata-mata.
Sebaliknya, atas jawatannya sebagai Perdana Menteri dan tetamu kehormat itu, Anwar sepatutnya juga diberi penghormatan merasmikan PAU2023 kali ini.
Tiada maknanya jika Anwar selaku Perdana Menteri hanya sekadar dijemput sebagai tetamu kehormat saja, tetapi tidak diberi peluang merasmikan PAU2023.
Dijemput berucap dan merasmikan PAU barulah namanya memberi suatu pengiktirafan kepada Anwar selaku Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan perpaduan ini.
Malah, tindakan itu amat cocok dengan pengakuan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini yang mengiktiraf Anwar sebagai cikgunya dalam politik.
Kalau bukan anak murid memuliakan cikgu, siapa lagi?– ShahbudinHusin 02/06/2023.
https://shahbudindotcom.net/