Kerajaan Perpaduan akan memastikan kestabilan bekalan makanan dan
harga yang rendah serta mampu dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata menerusi Inisiatif
Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan dilancarkan esok sektor perekonomian baharu
rakyat akan dilaksanakan seiring dengan sektor pertanian komersial sedia ada
seperti sawit dan getah.
"Komoditi utama pertanian seperti kelapa sawit yang telah
memberi nilai eksport dengan hasil memberangsangkan akan disulami dengan
hasil-hasil pertanian baharu bagi memastikan sektor pertanian memberi input
yang mampan ke arah Keterjaminan Makanan Negara," kata Rafizi dalam satu
kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dengan membuka ratusan ekar
tanah kerajaan sebagaimana dilakukan dalam inisiatif Felda pada 1960an menanam
sawit juga getah diharapkan ekonomi negara dan rakyat akan semakin berkembang.
"Untuk merealisasikan usaha ini, sebanyak 800 ekar tanah
milik Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan oleh golongan B40 dan miskin tegar
bagi tujuan pertanian. Kerajaan juga akan membuka peluang kepada sokongan modal
dan latihan.
Dengan segala perancangan yang telah dirangka, insyaallah kerajaan
akan memastikan Keterjaminan Makanan Negara kekal mampan merangkupi 4 indikator
iaitu kestabilan bekalan, ketersediaan, penggunaan dan akses," katanya.
IPR akan dilancarkan secara rasmi esok, 26 Februari 2023 di stesen
LRT Cempaka, Ampang, Selangor sekitar jam 10.00 pagi. Orang ramai dijemput
hadir untuk menyaksikan pelancaran berkenaan.