Belanjawan 2023: KKD akan realisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital


 

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan berusaha untuk merealisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital dengan peruntukan yang diumumkan sebanyak RM2.737 bilion oleh Menteri kewangan dalam Belanjawan Madani semalam.



Menurut Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil, peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan internet rakyat serta mendukung usaha membangunkan industri kreatif.



Katanya, Projek JENDELA iaitu pelaburan kerajaan ke atas insfrastruktur teknologi maklumat (IT) akan dipercepatkan bagi kesalinghubungan digital di 47 kawasan pengindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah dengan peruntukan RM725 juta untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan internet yang stabil.



Selain itu, katanya, kementerian juga akan melatih usahawan dan pekebun di luar bandar menggunakan IT bagi memudahkan pemasaran produk dihasilkan mereka.



"Usaha ini penting bagi memastikan rakyat mendapat liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan.



"Peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan diperkasakan bagi membantu peniaga kecil dengan pengetahuan IT dan e-Dagang. Sekurang-kurangnya satu PEDi akan diwujudkan di setiap DUN bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti ekonomi digital seiring dengan inisiatif KKD.



"KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) akan melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital menerusi program Digital AgTech ke 100 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta," katanya dalam satu kenyataan.



Tambah Fahmi, KKD juga mengalu-alukan usaha kerajaan mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian. Inisiatif kerajaan tersebut, katanya akan mempercepatkan usaha-usaha advokasi yang dilaksanakan KKD melalui CyberSecurity Malaysia bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.



Manakala Peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta diharap membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti filem, animasi dan muzik yang bermutu tinggi dan disasarkan bukan sahaja berjaya di pasaran tempatan malah menembusi pasaran antarabangsa.



"Bagi menyokong industri kreatif ini, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan diberi potongan cukai manakala duti import serta cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan," katanya lagi.



Fahmi berharap Belanjawan 2023 akan menjadi pemacu mendepani cabaran ekonomi semasa dan menjamin kesejahteraan rakyat untuk tahun tahun akan datang.

 

No comments: