BERI KAIL BUKAN BERI IKAN- NAK MAKAN MURAH PUN IYA JUGA. PATUT MASAK...USAHA LAH WALAU PUN SEDIKIT

 

Bantu miskin tegar jana pendapatan, bukan terus beri wang, kata kumpulan pengguna

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata pemberian wang tunai dikhuatiri akan menyebabkan rakyat kumpulan bawahan terus bergantung kepada ehsan kerajaan.

Aktiviti pertanian kecil-kecilan tidak melibatkan kos tinggi boleh membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar untuk jangka panjang, kata Ketua Aktivis PPIM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membantu kumpulan miskin tegar menjana pendapatan tambahan bukan sekadar menyalurkan bantuan tunai seperti bantuan tambahan RM600 di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diumum dalam Belanjawan 2023.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, berkata pendekatan tunggal seperti itu dikhuatiri akan membuatkan rakyat kumpulan bawahan terus bergantung harap kepada ihsan kerajaan untuk jangka panjang.

Menurutnya, bantuan sedemikian juga tidak memberi tambah nilai kepada kumpulan miskin tegar, yang realitinya memerlukan satu inisiatif untuk membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Tambahan RM600 itu tak ke mana pun, sepatutnya kerajaan salurkan dalam bentuk yang lebih produktif yang boleh menjana hasil bagi kumpulan penerima.

“Contohnya, kerajaan bagi pilihan buat perniagaan kecil-kecil seperti tanaman cendawan atau usahakan sayur-sayur hidroponik yang tidak memerlukan kos tinggi,” katanya kepada FMT, mengulas bantuan tunai tambahan RM600 di bawah STR bagi kategori miskin tegar.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam, perdana menteri yang juga menteri kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan bantuan sebanyak RM600, daripada RM2,500 yang diterima ketika ini.

Sumbangan itu akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan makanan asas bernilai RM600, yang menjadikan keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

Seorang pengamal perubatan, Dr Maamor Mansor, pula berpendapat usaha kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani untuk golongan B40 dipuji, namun menggesa kerajaan meluaskan jumlah perlindungan kepada penerimanya.

“Skim kesihatan kerajaan pusat perlu memberi lebih nilai daripada Iltizam Selangor Sihat yang ditawarkan kerajaan Selangor.

“Ia perlu ditambah baik termasuk tingkat jumlah perlindungan, tambah klinik panel, selain membenarkan penerimanya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengesan penyakit lebih awal,” katanya.

Beliau turut berharap skim itu dapat dilaksanakan segera bagi mengurangkan kesesakan di klinik kerajaan dan hospital awam ketika ini.

Belanjawan Madani 2023 memperuntukkan RM120 juta untuk skim Perubatan Madani khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta, sama seperti dilaksanakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

No comments: