Peruntukan RM100 juta Jualan Rahmah disambut baik



Peruntukan RM100 juta untuk Jualan Rahmah yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disambut baik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).



Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata peruntukan itu akan digunakan untuk membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang melambung ketika ini.



"Bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat telah diberikan tumpuan melalui Konsep Payung Rahmah, di antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah.



"RM100 juta yang diperuntukkan bagi tujuan Program Jualan Rahmah akan membolehkan KPDN melaksanakan jualan ini di kesemua 222 kawasan Parlimen, bagi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.



"Melalui program ini, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30% lebih murah berbanding harga pasaran," katanya dalam kenyataan selepas pengumuman Belanjawan Madani.



Menurut Salahuddin, peruntukan RM225 juta untuk mensubsidi harga barang keperluan asas pula amat bernilai bagi KPDN meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming kepada rakyat.



"KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pendalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah. Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.



"Program ini akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di 6 negeri tersebut di mana mereka dapat membeli 7 barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen paket 1kg/ botol 1liter, Gas Petroleum Cecair (LPG) serta Petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.



"KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan subsidi tersebut," katanya lagi.



Dalam kenyataan itu, KPDN turut menyambut baik pengumuman Kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit. Usaha tersebut, katanya, akan dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.

 

 

No comments: