Sebuah kaji selidik terbaru dilaporkan mendapati Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai menteri paling popular sekali di kalangan rakyat.
Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro AWANI, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.
Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari itu.
Dapatan kaji selidik itu menyaksikan Anthony Loke memperolehi 49 peratus undi.
Undi yang diperolehinya melebihi berbanding Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang sekadar mendapat 40 peratus undi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berada di tempat ketiga dengan 39 peratus undi.
Dua lagi dalam senarai Top 5 menteri paling popular diisi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan 34 peratus undi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman yang memperoleh 33 peratus undi.
Beberapa lagi menteri yang turut menunjukkan prestasi yang baik berdasarkan pilihan rakyat ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (30 peratus), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu (28 peratus) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub (27 peratus).
Dapatan kaji selidik bagi populariti lain-lain menteri barangkali tidak menimbulkan persoalan sangat, tetapi menjelmakan Anthony Loke lebih popular berbanding Anwar, bukan saja ternampak tidak munasabah, malah sama sekali tidak masuk akal.
Sejak terbentuknya kerajaan perpaduan dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, di mana-mana kita dapat menyaksikan beliau sentiasa dikerumuni rakyat, tak kira kecil besar atau tua muda.
Semua ingin berdekat, bersalam dan kalau boleh berselfie dengannya.
Hakikatnya, sekurang-kurangnya setakat hari ini, Anwar adalah paling popular sekali di kalangan rakyat dan tiada mana-mana menteri mampu mengatasi populariti beliau.
Ada Anthony Loke dikerumuni rakyat ke mana-mana beliau pergi sebagaimana yang berlaku kepada Anwar?
Selain itu, bukankah langkahnya memperkenalkan tidak perlu menampal pelekat cukai jalan baru-baru ini banyak dipertikaikan orangramai kerana dilihat tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat, cuma sekadar menunjukkan suatu “kegilaan digital” semata-mata?
Agak-agaklah kalau ia pun nak buat kajian untuk mencetuskan kontroversi? – ShahbudinHusin 26/02/2023.