BELANJAWAN 2023 – KALI INI TIADA ULASAN DARIPADA SAYA

 

Ramai kawan-kawan dan kenalan menghubungi saya bertanya, apa ulasan saya berkenaan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam.

Mereka juga bertanya, kenapa tiada ulasan daripada saya ditemui di website atau media sosial?

Sejak saya kembali aktif menulis pada 2011, sebenarnya inilah kali pertama saya tidak mengulas apa-apa mengenai belanjawan.

Biasanya, setiap kali belanjawan dibentangkan, dua tiga jam selepas itu pasti muncul ulasan atau kritikan daripada saya.

Baik ketika ia dibentangkan oleh Najib Razak, Lim Guan Eng atau Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, semuanya tidak terlepas daripada kritikan saya.

Tapi kali ini – entahlah – semacam tiada apa yang boleh saya ulas mengenai belanjawan itu.

Nak kata terlalu baik sehingga perlu saya memujinya, saya tak terjumpa pula sesuatu yang luar biasa.

Banyak perkara yang dibentangkan boleh dikira biasa-biasa saja.

Mengambil kira Anwar pernah dinobat sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia dan selama 25 tahun berjuang sebagai pembangkang dengan puluhan guni idea serta saranan mengenai cara memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat pernah dibentangkannya di pentas ceramah sebelum beroleh kuasa, nampak semacam tidak sepadan dengan apa yang dibentangkan semalam.

Soalnya, ke mana idealisme Anwar yang memukau selama ini?

Nak kata belanjawan semalam terlalu buruk atau lemah, tidak pula sampai ke tahap begitu.

Kalau terlalu lemah dan buruk, tentulah awal-awal lagi saya sudah menulis untuk membelasahnya.

Senang cerita, belanjawan yang dibentang Anwar semalam setelah kali terakhir membentangkannya 27 tahun lalu, hanya boleh dianggap biasa-biasa dan sederhana saja.

Kalau mahu diberi markah, termasuk cara penyampaian Anwar yang nampak tidak teratur dan tidak seperti pemidato yang hebat serta perkataan-perkataan baru yang ditunggu-tunggu tidak muncul, sebaliknya hanya perkataan lama yang sudah kerap diulang, barangkali markah 6.5/10 paling munasabah sekali.

Inilah ulasan sekadar tiada ulasan daripada saya tentang Belanjawan 2023. – ShahbudinHusin 25/02/2023.




No comments: