Anwar janji bawa rekod khidmat di PD ke Tambun
Penghijrahan Presiden KEADILAN ke kerusi parlimen Tambun bukan semata mata satu strategi politik untuk menawan Perak atau batu loncatan menjadi Perdana Menteri kemudian berakhir di situ.
Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya pengundi Tambun dihadapkan tohmahan seperti itu maka mereka boleh menyemak rekod perkhidmatan beliau di Port Dickson dan Permatang Pauh untuk menilai apakah perbezaan antara calon Pakatan Harapan, BN atau PN.
“Sekarang Tambun. Nak ayaq ke ayor? Saya anak Pulau Pinang, betul. Kemudian 7 tahun di Kuala Kangsar (Kolej Melayu), kemudian 2 tahun tahanan ISA di Kamunting kes tolong petani miskin di Kedah.
“Itu yang kita mahu pemimpin yang wakili seluruh rakyat. Tetapi Tambun dapat apa? Saudara kena tengok rekod di Port Dickson dan Permatang Pauh.
“Kena tengok bantuan rakyat, tandas sekolah seluruh Port Dickson kita repair. Sekolah kebangsaan, sekolah Tamil, semua kita bantu.
“Dua minggu sekali pasukan peguam bagi nasihat percuma, ada orang miskin ada masalah cerai, gaduh ada duit, lawyer datang. Dua bulan sekali ada rombongan pasukan perubatan percuma di Port Dickson. Menang 20 November ini bagi sebulan, kemudian kita mulakan program ini di Tambun yang belum pernah dilakukan di sini.
“Tambun ini saya tengok luar biasa potensi dan cantiknya jika majukan pusat pelancongan di Tambun. Bagi saya peluang, saya akan buat Tambun menjadi pusat pelancongan utama,” katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Perak di Tambun malam tadi.
Menurut Anwar, beliau bukan sahaja seperti yang disebut banyak pihak terkenal di peringkat antarabangsa tetapi tetap mengutamakan rakyat kawasan parlimen sendiri kerana mereka itulah yang melantiknya sebagai Ahli Parlimen.
Manakala kata beliau, pengaruh di peringkat antarabangsa pula boleh digunakan untuk memajukan ekonomi Malaysia.
“Saya bukan Menteri, saya Ahli Parlimen Port Dickson tetapi kalau perli Indonesia dapat undangan pergi jumpa Jokowi, di Singapura jumpa Hsien Loong. Saya pergi cuti dekat Filipina, Dutarte masa itu presiden dia minta datang jumpa.
“Saya pergi India, PM Narendra Modi hantar 6 menteri. Menteri Luar, Menteri Ekonomi, saya pun serba salah. Dunia boleh bagi pengiktirafan, kita ada peluang. Pergi China masa itu tak mahu hebahan, sensitif. Mahathir belum lawat China. Tetapi dapat telefon Menteri Luar Wang Yi minta saya jumpa. Jadi ini akan beri manfaat kepada rakyat Malaysia (sekiranya terpilih sebagai PM),” katanya.
Mantan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, cukuplah rakyat sejak berdekad lalu masuk pilihan raya cerita isu barang mahal, pelaburan tidak masuk atau kadar kemiskinan tinggi.
Kali ini, katanya perlu ubah semua masalah itu dengan mengambil kepimpinan baharu yang lebih berwibawa dan bersih.
“Pilihan raya ini peluang kita tentukan masa depan kita. Sampai bila kita bersyarah pilihan raya dok gaduh pasal harga barang tak selesai, ekonomi tak bangkit, pelabur tak datang, sampai bila?
“Selagi kita tak ambil tindakan untuk ubah, keadaan ini kekal. Sampai bila kita nak gaduh. Ada orang kata ini sebab Melayu pimpin, sebab Cina DAP, jadi komunis dan sebagainya.
“Ini bukan fakta. Apa sebab kita mundur? Apa sebab kerajaan tak dapat tarik pelabur asing, apa sebab barang naik? Mengapa masa depan anak muda kita tidak cerah, mengapa kemudahan kesihatan kita tidak baik?
“Kalau kita tengok semua ini kerana pimpinan negara kita. PM dan kabinet kita lembab dan tidak layak memimpin negara ini.
“Untuk selesai bukan masalah isu pendidikan, kesihatan sahaja. Kena selesai isu pimpinan dahulu. Ini mengenai tadbir urus. Masalah bukan Melayu, Cina, India tetapi pemimpin yang tidak berwibawa BN – PN dalam negara ini,” katanya.
Oleh itu tegas Anwar, kalau masih ada pihak yang kata kerajaan 22 bulan dahulu rakyat tidak dapat apa, maka boleh lihat harga ayam, bekalan telur, tindakan anti korupsi, semua dilakukan sewaktu 22 bulan.
“Harga ayam dan telur masa PH perintah rendah atau tidak? Maknanya kita boleh buat. Badan kehakiman mula bebas. Kalau tidak PH menang, orang tahu atau tidak berlian dan wang tunai di rumah Najib? tak tahu. Itu permulaan. Bagi peluang kepada saya untuk sambung dan tentukan negara ini diselamatkan untuk rakyat.
“Untuk itu kita mesti kerja keras. Kalau tak sanggup berjalan sikit lagi sampaikan kepada kawan yang kerja di Kuala Lumpur atau Singapura kita nak menang, no way. Sebab kita lawan gergasi kaya.
“Dari mana mereka dapat duit ratus juta? Dari rasuah. Orang Tambun, Manjoi ke Ulu Kinta curi basikal, kena dakwa masuk jel. Kamu curi ratus juta dapat Tan Sri. Apa punya sistem?
“Beri kami mandat, inshaAllah kami akan hentikan semua hal mengarut dalam negara ini,” kata Anwar lagi.