Umno jem, belum menang sudah berebut mahu jadi PM - Rafizi


 

Pemimpin Umno amat teruja untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada musim tengkujuh dan berjaya membubarkan Parlimen dalam keadaan amaran banjir akan melanda negara pada bulan November.



Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, keterujaan mengadakan pilihan raya itu tiba tiba berubah senyap sunyi apabila nama nama calon pun belum diumumkan ketika parti lain telah mengumumkannya.



Hal itu, kata beliau kerana terdapat dakwaan berlaku perebutan dalaman dan Presiden Umno Zahid Hamidi mempunyai percaturan untuk menjadi Perdana Menteri biar pun beliau telah menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy.



"Kalau kita tengok sampai sekarang BN belum lagi umum nama calon. Dia yang susah payah kejar orang buat PRU awal, tak kisah banjir tak banjir kita ingat dia paling bersedia pusing satu Malaysia. Sampai sekarang tak dengar cerita dari Umno BN.



Yang saya dengar Umno jem sampai sekarang. Dia tak boleh umum calon sebab belum menang lagi dia dah berebut siapa nak jadi PM



"Gila ke apa? Aku tengok Zahid, aku kesian. Kempen la dulu sebelum menang, dah menang boleh la jadi PM



"Yang terbaru saya dengar kerana Zahid marah sangat kepada geng Umno yang jadi Menteri dulu sebab rasa melawan dia. Sekarang kuasa melantik calon dialah. Ni masa dia tenyeh (membalas)," katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Kuala Langat, malam tadi.



Di samping itu Rafizi tidak menyembunyikan rasa terkilannya melihat nasib menimpa rakan politik Umno, Datuk Seri Khairy Jamaludin yang ditendang macam bola dan mungkin bertanding di kerusi Sungai Buloh untuk dilenyapkan oleh calon KEADILAN di sana.



Bagi Rafizi, begitulah cara Umno 'memancung' ahli politik berbakat dalam parti itu yang mereka khuatiri akan mengancam kedudukan pemimpin yang korup.



Balas dendam dalam Umno, katanya, juga merebak kepada pemimpin yang tidak mengikut telunjuk presiden Umno seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa.



"Saya dengar Shahidan nak kena, Annuar Musa nak kena. Ada orang beritahu saya, kenapa letak budak PhD (calon KEADILAN) umur 28 bertanding di Arau? Nak lawan Shahidan dengan keluarga dia dah duduk dekat Arau berpuluh tahun.



"Aku tahu benda yang kau tak tahu. Kita dah agak Umno akan berbunuhan sebelum masuk PRU. Jadi lepas ini kalau Shahidan tak jadi calon maka tutup bilik gerakan kat Arau. Tiba tiba kerusi Arau yang susah nak menang sekarang ada peluang menang.



"Sama macam Pasir Salak. Orang kata kenapa letak Nik Omar dari Kelatan di situ. Orang lupa tahun 2008 KEADILAN kalah Pasir Salak 2,000 undi saja. Tajuddin ni kaki gaduh, kalau tak jadi calon dia mungkin tutup bilik gerakan. Kerusi yang Umno kata kubu kuat silap hari akan jatuh," katanya.



Pengarah Pilihanraya KEADILAN itu juga mendedahkan calon Umno diwajibkan untuk tandatangan perjanjian sebagaimana calon KEADILAN. Cuma berbeza dengan KEADILAN yang mahu calon bertanggungjawab, bersih dari rasuah dan berjanji potong gaji untuk kewangan parti, calon Umno, katanya terpaksa menurunkan tandatangan untuk memberi kuasa kepada Zahid membentuk kerajaan jika BN menang.



Berkenaan senario pertandingan di kerusi Kuala Langat pula, Rafizi menjangkakan bakal wujud adu domba isu perkauman yang sangat sengit di kawsaan berkenaan memandangkan PN juga akan meletakkan calon.



"Kuala Langat kira kerusi panas. Satu sebabnya dia kerusi campuran. Bila kerusi campuran ada pertembungan 3 penjuru. PH dah umum calon kita Manivanan. BN saya dengar MIC bertanding. PN macam biasa akan letak Melayu. Buat pertama kali kita akan nampak PN bila letak calon Melayu dia akan cuba main emosi. Tak apa tak suka dekat kami pun, PN tak bentuk kerajaan, tetapi jangan undi India, undi Melayu.



"Kuala Langat akan jadi salah satu kerusi yang permainan perkauman dia akan jadi paling buruk dalam semua kerusi. Bila ada wakil India dari PH lawan BN dan PN yang Melayu akan main isu perkauman sampai habis.



"Tetapi kawan kawan di Kuala Langat jangan bimbang. Di antara PH, BN dan PN kelebihan yang mendahului sokongan rakyat ialah PH. Jadi kita ada peluang besar pertahan kerusi ini," katanya lagi.

 

No comments: