Ringgit menjunam RM4.70


 

Ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar AS hari ini (14 Oktober 2022).

Ringgit hari ini (14 Oktober 2022) menjunam ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura (SGD) dipengaruhi berita Rizab Persekutuan (Fed) dan pengetatan dasar monetari negara seberang tambak itu.

Ketika penutup urusniaga jam 6 petang tadi, ringgit jatuh kepada RM4.7045 berbanding dolar, daripada penutup RM4.6925 semalam, manakala mata wang tempatan merosot kepada RM3.3025 berbanding SGD.

Kali terakhir pasangan mata wang tempatan mencecah melebihi 4.7 adalah ketika Krisis Kewangan Asia pada 1 September 1998, di mana ringgit berada pada 4.7125. Dalam tempoh setahun, ringgit telah menyusut 12.91 peratus berbanding dolar AS.

Sementara itu, ringgit merosot berbanding SGD kepada rekod baharu kadar pertukaran 3.3025, selepas Singapura mengetatkan dasar monetarinya pada sebelah pagi untuk melawan inflasi.

Nilai ringgit ditutup pada 3.3025, setelah seharian didagangkan antara 3.2831 dan 3.3095. Ini adalah hari ketiga berturut-turut ringgit ditutup pada paras rekod terendah, selepas 3.2738 pada Khamis dan 3.2609 (Rabu).

Setakat ini, SGD telah mengukuh berbanding ringgit sebanyak 7.03 peratus. Ia ditutup pada 3.0857 pada 31 Disember 2021, memetik laporan TheEdge.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata ia akan memusatkan semula titik tengah jalur dasar kadar pertukaran berkesan nominal (S$NEER) SGD ke tahap lazimnya, tetapi mengekalkan cerun dan lebarnya.

Tidak seperti bank pusat negara lain, yang melaraskan kadar faedah masing-masing sebagai sebahagian daripada dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan mengekang inflasi, dasar monetari MAS melibatkan pelarasan kepada jalur dasar S$NEER.

UOB Group Research dalam notanya pada Jumaat berkatamereka melihat lebih banyak ruang untuk mengetatkan sehingga 2023, terutamanya jika inflasi teras tidak menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan.

 

No comments: