BIARKAN TIGA ATAU EMPAT PENJURU, PRU15 BUKAN SAJA UNTUK HALANG KLEPTOKRAT, TAPI JUGA UNTUK BENAM KATAK DAN PENGKHIANAT


 Di sebalik keinginan Tun Mahathir Mohamad agar parti-parti pembangkang saling bekerjasama bagi menumbangkan BN mendapat sambutan agak dingin dan meskipun Anwar Ibrahim juga memutuskan tidak akan menjalin sebarang hubungan, baik dengan PN mahu pun GTA, riuh rendah suara penganalisis dan ahli akademik yang mahukan penyatuan blok pembangkang masih lagi kuat kedengaran.

Mereka secara umumnya memberi ingatan, tanpa saling bekerjasama, blok pembangkang tidak akan berjaya merebut kuasa dan hanya memberi laluan lebig selesa untuk BN berkuasa semula.

Disarankan juga, meskipun berbeza pendapat dan pendirian, semua parti pembangkang mesti berlapang dada dan bersatu hati untuk satu perkara – menghalang BN jadi kerajaan semula.

Benarkah hanya dengan penyatuan pembangkang saja BN boleh dikalahkan?

Apakah menumbangkan BN satu-satunya matlamat tunggal yang maha penting yang wajib dicapai bagi blok pembangkang, khususnya PH dan ia mengatasi semua keutamaan yang lain?

Memang benar bahawa menjadi kerajaan, menumbangkan BN dan mengelakkan kleptokrat berkuasa semula adalah misi penting bagi blok pembangkang, tetapi PH jangan lupa kepada persoalan lain iaitu keserabutan politik yang berlaku hari ini adalah disebabkan pengkhianatan dan kerana ada ahli politik yang tidak malu menjadi katak.

Semua itu berlaku disebabkan tamak kuasa, dengki, iri hati, dendam tak berkesudahan dan pelbagai elemen busuk hati lain yang bersarang dalam jiwa mereka yang berkenaan.

Mereka lupa atas tiket apa mereka dipilih rakyat serta kerana apa rakyat mengundi mereka.

Disebabkan semua perangai jahat itu, maka kerajaan PH yang dipilih melalui undi rakyat lebih rela dijatuhkan sehingga membuka laluan kepada parti yang kalah menjadi kerajaan.

Jika PH setuju menjalin kerjasama, baik dengan PN atau GTA untuk menghadapi PRU15 akan datang, bermakna mereka rela memberi nyawa kepada pengkhianat dan katak untuk bernyawa semula.

Sementara UMNO dilihat begitu tegas menolak untuk bekerjasama dengan Pas semata-mata kerana tidak mahu menyelamatkan katak-katak yang telah melompat ke kolam Bersatu, di manakah maruah PH jika masih berlapang dada sedia menerima pengkhianat untuk tidur sebantal dengan mereka dalam satu kelambu?

Lebih buruk sebenarnya, setelah diselamatkan nanti dan katalah BN berjaya ditumbangkan, apa jadi kepada blok pembangkang akhirnya?

Tidakkah sesama mereka akan bergaduh semula dan sudah tentu, tajuk paling mudah untuk dijadikan bahan pergaduhan ialah Anwar Ibrahim mesti memberi laluan kepada orang lain yang tak pernah puas berkuasa untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi?

Dalam erti kata lain, perbalahan dan dunia politik negara akan menjadi kotor semula hanya kerana blok pembangkang setuju untuk saling bekerjasama bagi menjatuhkan BN itu.

Atas sebab itu, PH mesti tegas menolak sebarang bentuk kerjasama atau cadangan berbaik semula dengan golongan pengkhianat dan mereka yang pernah menjadi katak sebelum ini.

PRU15 bukan saja medan untuk mencari kuasa bagi memulihkan negara dan melaksanakan reformasi serta menghalang kleptokrat kembali memegang kuasa, malah juga bagi membersihkan politik negara ini daripada kekotoran yang disebabkan oleh pengkhianatan dan kegemaran melompat parti.

Golongan tersebut lebih mungkin dapat disingkirkan dan dibenam kariernya jika PH tidak menerima mereka sebagai rakan kerjasama.

Hanya dengan menyingkirkan mereka daripada memenangi sebarang kerusi saja dapat menjadikan politiik negara selepas ini berada di tangan mereka yang suci hati, murni perjuangannya serta setia kepada parti.

Jangan bimbang jika PRU15 nanti berlangsung sama ada tiga atau empat penjuru, bahkan jangan lupa PH menang pada PRU14 dulu pun melalui pertandingan tiga penjuru.

Mereka yang takut pertandingan banyak penjuru kononnya akan memberi kelebihan kepada BN sebenarnya lebih takut mereka tiada peluang langsung dalam mengutip kemenangan.

Percayalah, pengundi lebih memilih parti yang ada prinsip perjuangan dan tidak bersekongkol dengan pengkhianatan serta pelompat-pelompat katak berbanding parti yang sanggup mengorbankan nilai-nilai murni sendiri demi mengejar kilauan fatamorgana kuasa semata-mata.

Malah dengan kekal berpegang kepada prinsip itu, bukan saja penyokong sedia ada tidak lari, pengundi atas pagar juga mungkin lebih teruja dan terghairah untuk turut sama memastikan lakaran kejayaan yang diburu PH menjadi kenyataan.

Ketegasan PH menolak untuk bekerjasama dengan pengkhianat dan katak juga selari dengan usaha mereka mengadakan MOU dengan kerajaan sehingga terlaksananya akta lompat parti.

Sudah tentu akta lompat parti akan menjadi sampah di mata rakyat jika PH akhirnya memutuskan bekerjasama dengan kelompok yang dibadannya ada cop sebagai pengkhianat dan pernah menjadi katak.

Untuk menggapai kemenangan, yang jauh lebih penting ialah terus bekerja kuat dan pastikan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus, selain kekal dengan prinsip, bukan dengan memeluk semula pengkhianat dan katak yang pernah menikam belakang sebelum ini. – ShahbudinHusin 15/10/2022.