Ucapan Zahid di majlis MIC dedah kewujudan Kluster Mahkamah BN


 

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ucapannya pada majlis MIC Isnin lalu diputar-belit.

Kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bukti bahawa Presiden UMNO itu telah membuat percubaan lemah untuk menafikan ucapannya ketika perhimpunan MIC Isnin lalu.

Veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa Mufti Perlis pun terkejut kerana matlamat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai “surga rasuah”.

Beliau memetik ciapan Mohd Asri yang mengatakan ““Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah. Jika itu berlaku, negara ini akan jadi SYURGA RASUAH”.

Perkara ini kata Kit Siang berlaku susulan Zahid mendakwa yang ucapannya pada perhimpunan perwakilan MIC Isnin lalu telah “diputar belit” oleh pihak lawannya.

“Saya tidak sedar pula sekiranya Mohd Asri ini dikira sebagai berada dalam kategori “pihak lawan” Zahid dan perkara ini menjadi bukti kuat yang Zahid gagal menjelaskan pengakuan “berterus-terang” dalam ucapan MICnya yang telah menunjukkan bahawa, bukan sahaja ada “Kluster Mahkamah” UMNO, tetapi ada juga “Kluster Mahkamah” BN,” kata Kit Siang dalam blognya hari ini (14 Oktober 2022).

Katanya Zahid telah menamakan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa atas kesalahan yang telah dilakukan mereka, seperti Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

“Saya tidak tahu apakah bentuk tuduhan rasuah atau tuduhan lain yang boleh dibawa terhadap Mohamad, Hishammuddin, Ka Siong, Vigneswaran, atau Saravanan, tetapi Zahid sepatutnya lebih tahu.

“Apa yang membuatkan tuduhan Zahid ini lebih berat adalah apabila mereka berlima ini terus berdiam diri selepas ucapan Zahid yang mengatakan mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk dituduh di mahkamah,” kata bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kit Siang kemudian mempersoalkan adakah ini takdir Malaysia apabila setelah enam dekad, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat untuk mengundi mereka pada PRU-15 untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dan BN daripada penjara.