BAJET 2023 SEKADAR GULA-GULA PILIHAN RAYA – MUJAHID

 

Bajet 2023 bernilai RM369.34 Bilion dimana RM272.34 Bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala untuk Pembangunan bernilai RM97 Bilion.

Sektor sosial mendapat peruntukan terbesar dalam perbelanjaan mengurus iaitu RM108 Bilion.

Bajet kali ini tidak berbeza dengan sebelumnya ketika negara melalui fasa pemulihan dalam membina ketahanan nasional yang memerlukan pengurusan lebih efektif dan sifar ketirisan.

Keadaan keberhutangan negara masih tinggi iaitu RM1.4 Trilion. Hutang 1MDB masih berbaki RM25.9 Bilion di mana pada tahun 2019 semasa kerajaan PH, usaha mengambil balik aset 1MDB yang berterusan hingga 2022 telah berjaya mengembalikan RM 19.3 Bilion.

Ini termasuk pendakwaan Jerung Besar mantan PM Najib Razak semasa PH telah memulihkan imej negara di mata dunia.

Apa yang membezakan bajet kali ini hanyalah pengenalan Pemetaan SDG (Sustainable Development Goals) dalam sektor2 yang diperuntukkan berpandukan 17 agenda SDG dimana sektor pendidikan dan pengukuhan institusi dan keadilan merupakan dua sektor terbesar yang mendapat peruntukan masing2 RM78 Bilion dan 67Bilion.

Ia hanya pemetaan dan bukan peralihan dasar baharu.

Pembangunan Hijau mendapat tempat sebagai keperluan Malaysia memasuki fasa 70% mengurangkan penyahan karbon pada 2024. Namun dasar agresif dan holistik masih jauh dari pencapaian selagi ESG (environmental, social & governance) tidak menjadi ekosistem dalam membangunkan negara.

Buktinya pengukuhan kepada keberkesanan mengelak ketirisan masih lagi tidak diperincikan dan dipertegaskan. Bajet ini adalah ‘bussiness as usual’ dalam anugerah kontrak tanpa penegasan kepada perlunya tatakelola yang telus dan bertanggungjawab.

Isu LCS dan OPV dalam keperluan menjaga keselamatan maritime negara berpotensi untuk berulang lagi dalam pembekalan aset keselamatan negara.

Mendanai parti politik dan mengkayakan oligarki tidak ditangani dan rasuah dalam kontrak kerajaan menjadi sistemik dan sudah membarah.

Satu Akta baharu untuk perolehan kerajaan (GPA) yang lebih telus diperlukan begitu juga akta fiskal bertanggungjawab (FRA) untuk memantau perolehan dan tatakelola kewangan dalam kontrak kerajaan. Bajet 2023 tidak memperkenalkan komitmen menangani RASUAH.

Kerajaan terpaksa berbelanja RM 485juta dalam bajet untuk penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM yang usang bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara.

Isu 3 biji Offshore Patrol Vessel (OPV) bernilai RM739 juta masih gagal disiapkan sejak anugerah rundingan terus pada tahun 2017 walaupun RM500juta telah dibelanjakan. 6 buah Kapal LCS untuk TLDM pula dengan peruntukan RM 9 Bilion masih gagal disiapkan walaupun 6 bilion telah dibelanjakan.

Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati berlaku ketirisan di dalam agihan kontrak terhadap kontraktor Bumiputera. 10% hingga 15% daripada nilai kontrak diagihkan kepada pelobi atau orang tengah manakala 13% hingga 15% lagi diagihkan kepada kumpulan politik dan birokrat.

Dengan spekulasi PRU akan diadakan sebelum hujung tahun 2022, Bajet 2023 hanyalah gula-gula tanpa ada intipati untuk mendepani masalah yang lebih besar iaitu RASUAH yang mengakibatkan anggota ‘Keluarga Malaysia’ yang lebih besar merana kerana keperluan bajet pembangunan sepatutnya dapat dinikmati lebih dari RM 97Bilion yang diperuntukkan dalam bajet 2023.

Sekian

YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden Parti AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

Pengerusi PH Perak

8/10/2022.


No comments: