MALAYSIA TERUS MEMBISU DALAM PEMBELAAN KEZALIMAN MINORITI MUSLIM
UYGHUR DI CHINA.
7 Oktober 2022
1. Pendirian Kerajaan Malaysia untuk berkecuali dalam cadangan
PBB untuk membahaskan isu pelanggaran hak asasi manusia ke atas puak Muslim
Uyghur oleh Negara China amat mendukacitakan dan memalukan negara.
2. Sementara negara lain seperti Turki, Britain, Norway dan
Australia di antara pihak menjadi penaja - sponsor cadangan tersebut, Malaysia
negara majoriti Muslim berkecuali tidak menyokong siasatan atas tuduhan
kezaliman atas pihak minoriti saudara Islam Uyghur kita.
3. Mengelar diri kerajaan Melayu Islam yang diterajui PAS dan
UMNO, pendirian Malaysia dilihat ketara amat lemah termasuklah dalam isu isu
pembelaan minoriti Muslim di Uyghur dan juga di Palestin.
4. Cadangan PBB untuk mula menyiasat secara rasmi tuduhan
kezaliman yang sudah lama berkumandang, Malaysia juga pernah melindungi
pelarian Uyghur dari dihantar pulang ke China atas kebimbangan keselamatan
serta hak asasi mereka.
5. Kenapa sekarang ini Malaysia tidak lagi prihatin dan membela
siasatan kezaliman keatas minoriti Uyghur yang makin luas dan jelas laporan
penindasan dan penderitaan mereka?
6. Adakah faktor perdagangan-komersial mengatasi isu hak asasi
penderitaan minoriti sesama Islam oleh sebuah kuasa besar?
7. Malaysia, yang kononnya sebuah kerajaan Melayu Islam, semakin
tidak istiqamah, dan lemah dalam isu pembelaan nasib umat Islam yang dizalimi
apabila melibatkan kepentingan perdagangan kewangan dan kuasa besar seperti
Negara China, Amerika dan Israel.
8. Baru baru ini semasa rakyat Palestin dan Masjidil Al Aqsa di
cerobohi oleh Israel dengan sokongan Amerika, Malaysia menyertai dan mempromosi
EXPO Dubai bersama Israel - Amerika, dimana Palestin telah menarik diri.
9. Kerajaan Malaysia hari ini sanggup meninggalkan dan
mengorbankan saudara minoriti Islam di China dan Palestin yang tertindas demi
perniagaan dan pengaruh kuasa besar.
10. Apakah polisi serta hala tuju Malaysia dipentas dunia
antarabangsa dalam isu hak asasi manusia kaum minoriti yang amat kabur dan
tiada roh pembelaan kelihatan?
11. Apakah sumbangan atau peranan Duta Khas ke Timur Tengah -
Abdul Hadi Awang, yang tidak langsung kedengaran suara atau teguran isu
Palestin dan Israel?
12. Malaysia akan terus menjadi tidak relevan lagi seperti
dahulu dalam kalangan komuniti dunia dan negara negara Islam dengan sikap
membisu dan tiada pendirian.
13. Keputusan "berkecuali" Malaysia dalam tuntutan
untuk diadakan siasatan PBB atas kezaliman ke atas kaum minoriti Islam Uighur,
yang lama sudah bergema di seluruh dunia, adalah sama dengan menutup mata,
mulut dan telinga atas kezaliman atas sesama saudara Islam minoriti dan
menafikan pembelaan.
14. Apa kata Perdana Menteri kerajaan Melayu Islam dan apa pendiriaan
Menteri Agama dan Duta Khas yang kedua dua nya dari PAS?
15. Adakah kerajaan Malaysia merestui kezaliman keatas umat
Islam minoriti di biarkan serta di tutup tanpa siasatan dan pembelaan?
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi PAKATAN HARAPAN Terengganu
Pengerusi AMANAH Terengganu.