ULASAN | M'sia berkecuali usul bahas situasi Uyghur: Memalukan*



Raja Bahrin Shah

Diterbitkan:  Oct 7, 2022 1:20 PM



Pendirian Malaysia untuk berkecuali dalam cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membahaskan isu pelanggaran hak asasi manusia ke atas puak Muslim Uighur oleh China amat mendukacitakan dan memalukan negara.


Sementara negara lain seperti Turki, Britain, Norway dan Australia antara pihak menjadi penaja cadangan tersebut, Malaysia–negara majoriti Muslim–berkecuali, tidak menyokong siasatan atas tuduhan kezaliman atas pihak minoriti saudara Islam Uighur kita.


Mengelar diri kerajaan Melayu-Islam yang diterajui PAS dan Umno, pendirian Malaysia makin ketara amat lemah dalam isu isu pembelaan minoriti Muslim di Uighur dan juga di Palestin.


Cadangan di PBB untuk mula menyiasat secara rasmi dahulu tuduhan kezaliman amat lama berkumandang. Malaysia dahulu pernah melindungi pelarian Uighur dari dihantar pulang ke China atas kebimbangan berkaitan keselamatan serta hak asasi mereka.


Kenapa sekarang ini Malaysia tidak lagi prihatin dan membela siasatan kezaliman ke atas minoriti Uighur yang makin luas dan ketika laporan jelas menyebut berlaku penindasan dan penderitaan?


Adakah faktor perdagangan-komersial mengatasi isu hak asasi penderitaan minoriti sesama Islam oleh sebuah kuasa besar? 


Malaysia, yang kononnya kerajaan Melayu Islam, makin tidak istiqamah serta lemah  dalam pembelaan umat Islam minoriti yang dizalimi apabila melibatkan kepentingan perdagangan kewangan dan kuasa besar seperti China, Amerika dan Israel.


Baru baru ini semasa rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa diceroboh Israel dengan sokongan Amerika, Malaysia menyertai dan mempromosi Expo Dubai bersama Israel-Amerika, ketika Palestin menarik diri.


Kerajaan Malaysia hari ini sanggup meninggalkan dan mengorbankan saudara minoriti Islam di China dan Palestin yang tertindas demi perniagaan dan pengaruh kuasa besar.


Apakah polisi serta hala tuju Malaysia di pentas dunia antarabangsa dalam isu hak asasi manusia kaum minoriti yang amat kabur dan tiada roh pembelaan kelihatan?


Apakah sumbangan atau peranan duta khas ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang, yang tidak langsung kedengaran suara atau teguran isu Palestin dan Israel?


Malaysia akan terus menjadi tidak relevan lagi seperti dahulu di kalangan komuniti dunia dan negara negara Islam dengan sikap membisu dan tiada pendirian.


Keputusan "berkecuali" Malaysia dalam tuntutan untuk diadakan siasatan PBB atas kezaliman ke atas kaum minoriti Islam Uighur, yang lama sudah bergema di seluruh dunia, adalah sama dengan menutup mata, mulut dan telinga atas kezaliman atas sesama saudara Islam dan menafikan pembelaan.


Apa kata perdana menteri kerajaan Melayu-Islam dan apa pendirian menteri agama dan duta khas yang kedua-duanya dari PAS?


Adakah kerajaan Malaysia merestui kezaliman ke atas umat Islam minoriti, dibiarkan tanpa siasatan dan pembelaan?


RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Pakatan Harapan merangkap Amanah Terengganu.