Barang naik, ikan kering pun naik, adakah kerajaan akan tambah subsidi



Kenaikan harga barang terutama makanan menjejaskan rakyat bawahan yang hampir tidak mampu menyediakan hidangan cukup gizi untuk keluarga.


Ahli Parlimen Karupaiya Mutusami (PH - Padang Serai) mohon Menteri mengawal harga barang dan mahu tahu apakah kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak subsidi bagi mengelakkan peningkatan harga yang parah.


"Menteri, barang semua sudah naik. Ikan kering pun naik. Itu makanan orang kampung. Kita rasa sedih betul.


"Boleh tak kerajaan nyatakan dengan jelas berapakah subsidi yang kerajaan tanggung bagi barang keperluan asas dan adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan subsidi dalam mengawal inflasi?


"Tolong kawal harga, Menteri," katanya dalam sesi soalan tambahan di Dewan Rakyat pagi tadi.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menjawab, masalah inflasi bukan sahaja dirasai di Malaysia tetapi merupakan masalah yang sedang dihadapi di seluruh dunia.


"Kita akui masalah pandemik, masalah peperangan, isu kenaikan harga barang ini adalah isu global


"Cuma data tidak ada (subsidi barang asas) kerana soalan ditanya itu di luar soalan asal dari apa yang ditanya tadi.


"Namun subsidi yang diberi kerajaan untuk minyak masak 1, 3 dan 5 kg sehingga Jun 2022, kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM382 juta untuk 11 bulan. Ini untuk minyak sahaja," katanya.

No comments: