RAMAI JUGA WAK ZAHID HERET MASUK SEKALI..TERMASUK ATOK....

 

Shahril, bekas menteri MCA terima RM10 juta daripada UKSB, mahkamah diberitahu





Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan juga menyandang jawatan pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Seorang pemimpin Umno dan dua bekas menteri MCA menerima hampir RM10 juta derma politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Pada perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menerima sejumlah RM1.162 juta, seperti yang dinyatakan dalam lejar.

“Beliau menerima bayaran bulanan sebagai derma politik dan untuk pilihan raya,” kata Tan semasa diperiksa balas oleh peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh.

Katanya, nama kod untuk Shahril seperti yang terdapat dalam lejar ialah “S Pat”.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“(Shahril) dibayar memandangkan beliau dekat dengan Khairy Jamaluddin.”

Shahril, 36, yang kini Naib Ketua Pemuda Umno, juga menyandang jawatan pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

Tan berkata, bekas menteri pengangkutan Chan Kong Choy menerima RM7.8 juta daripada UKSB, dan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Ong Ka Chuan menerima RM920,000.

“Nama kod untuk Chan ialah ‘Prof’, dan ‘OKC’ untuk Ong,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-17 itu sebelum ini mendedahkan bayaran dibuat kepada “menteri, ahli politik, dan penjawat awam” dan beliau menyimpan lejar bayaran antara 2014 dan 2018 dalam fail lembaran hamparan di komputer ribanya.

Antara individu yang dinamakannya sebagai penerima wang secara langsung atau menerusi proksi ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin; bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal; bekas menteri luar Anifah Aman; bekas menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein; dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican.

Kecuali Mahathir, yang namanya baru didedahkan hari ini, individu lain telah mengeluarkan kenyataan media bulan lepas menafikan menerima wang daripada UKSB.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim, Tan berkata, beliau tidak rasa perlu untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Wang telah diberikan kepada mereka dan prosiding ini sedang berlangsung,” katanya apabila ditanya mengapa tidak membuat laporan setelah disanggah ahli-ahli politik terbabit.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik turut mengemukakan kenyataan akhbar sebagai barang kes.

Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali Pusat Sehenti di China dan sistem visa asing (VLN), serta mengekalkan perjanjian kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dalam tujuh tuduhan lagi, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berkaitan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Zahid sedang meneruskan pembelaan pendakwaan terpilih.

No comments: