Usaha Turkiye realisasi perjanjian eksport bijirin Ukraine satu kejayaan diplomatik besar



Usaha Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berjaya menjadi orang tengah dalam perjanjian mengeksport bijirin Ukraine dari pelabuhan Laut Hitam yang dikepung Rusia merupakan kejayaan diplomatik luar biasa.


Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia menganggap perjanjian yang ditandatangani oleh Türkiye, Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Ukraine Jumaat lalu sebagai 'kisah luar biasa pada ketika dunia hampa, putus asa dan negatif'.


"Perjanjian ini kisah yang luar biasa pada ketika suasana dunia muram, hampa dan putus asa


"Presiden Erdogan telah berjaya membawa bersama Ukraine dan Rusia untuk menyelesaikan masalah keselamatan makanan antarabangsa


"Ini kejayaan diplomatik yang besar. Walaupun masih berlaku peperangan, ini sekurang-kurangnya suatu peluang untuk bertemu dan (proses) libaturus," katanya dipetik Anadolu Agency.


Perjanjian itu, yang disaksikan Erdogan dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dimeterai selepas persetujuan umum dicapai antara pihak-pihak terlibat mengenai rancangan yang diketuai PBB semasa rundingan di Istanbul pada 13 Julai untuk membentuk pusat penyelarasan bagi menjalankan pemeriksaan bersama di pintu keluar masuk dari pelabuhan, dan untuk memastikan keselamatan laluan.


Presiden Turkiye dipuji kerana peranan pengantaranya berkoordinasi dengan Moscow dan Kyiv bagi membuka koridor dari bandar pelabuhan Ukraine, Odesa untuk menyambung semula penghantaran bijirin global yang tersekat akibat perang yang kini memasuki bulan kelima.


Bagi Anwar perjanjian berkenaan memberi kesan penting kepada pasaran biji bijian dunia, terutama ketika negara negara Afrika sedang diancam kebuluran akibat melambungnya harga gandum dan jagung yang sebelum ini banyak dibekalkan oleh Ukraine.


"Perjanjian "memberi kesan kepada keselamatan makanan... membawa kebaikan bagi kebajikan rakyat jelata di Türkiye dan negara-negara lain."


"Ini juga langkah penting dalam usaha menyelesaikan sebahagian masalah makanan yang menjejaskan kehidupan rakyat biasa di dunia.


"Ia juga kejayaan dari segi ke arah menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan mendadak dan lebih-lebih lagi keselamatan makanan," katanya.


Tambah Anwar, penglibatan Turkiye memperlihatkan negara itu mempunyai pengaruh besar di antara dua tetangga yang sedang berkonflik, Rusia dan Ukraine, juga sebagai penjaga laluan perdagang utama di Laut Hitam.


"Türkiye mungkin satu-satunya negara yang mampu menyatukan kedua-dua negara ini sekurang-kurangnya dalam beberapa perihal tertentu dan dalam kes ini import serta eksport bijirin,


"Kita berbangga bahawa sekurang-kurangnya kita mempunyai sebuah negara Islam yang membangun, (mampu) tampil menjalankan peranan itu," kata Anwar lagi.


Anwar kini berada di Turkiye dalam rangka lawatan atas jemputan Presiden Erdogan. Kelmarin beliau ditemubual oleh media utama Turkiye, Anadolu Agency di Istanbul.


 

No comments: