Tanggungan subsidi minyak masak makin tinggi, kebocoran juga banyak?




 Kerajaan berbelanja ratusan juta ringgit untuk memberi subsidi minyak masak namun kesannya tidak seberapa kepada pengguna.


Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH Kulim Bandar Baharu) bertanya apakah penguatkuasaan kerajaan lemah atau polisi subsidi telah tersasar daripada tujuan asalnya.


"Isunya adalah tangungan subsidi kerajaan semakin membengkak kemudian sasaran minyak masak untuk dibeli oleh golongan berpendapatan rendah itu terasar, bocor dan sebagainya.


"Kemudian aspek penguatkuasaan terhadap 3 perkara ini nak mengoptimumkan perbelanjaan subsidi, nak pastikan ia sampai ke kumpulan sasaran, dan nak pastikan keberkesanan penguatkuasaan.


"Setakat sekarang ini apakah ikhtiar kementerian nak pastikan 3 perkara itu," kata Saifuddin dalam sesi soalan tambahan perbahasan Dewan Rakyat sebelah pagi.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid bagaimanapun berkata, kerajaan berhasrat melaksanakan cadangan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu sebelum ini untuk memperkenalkan harga minyak sawit dalam negeri dan luar negara namun belum ada kesepakatan dengan

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi .


Dari segi penguatkuasaan, katanya, kementerian memperhebatkan lagi penguatkuasaan dan mengaudit syarikat yang diberi lesen membekalkan minyak masak bagi mengelakkan ketirisan.