ANWAR DI TURKI DARI 23 HINGGA 25...GAMBAR GAMBAR DI TURKI DAN LAWATAN KERJA

 



25/7/2022

Saya dikunjungi Dr İbrahim Kalın, sahabat karib yang juga penasihat khas Presiden Erdoğan, di Beşiktaş.

Kali terakhir kami bertemu pada 2018.

Saya menghargai keikhlasan beliau yang sentiasa memberikan dukungan dan mendoakan yang terbaik buat Malaysia.

 



Sempat ketemu Prof. Bekir Karlığa, sahabat lama yang juga sejarawan ulung dalam bidang sejarah empayar Uthmaniyyah (Osmanlı) berkongsi pandangannya dengan saya.

Pertemuan sebegini, meski begitu singkat, amatlah bermakna buat saya.

 




Dalam acara tahunan Summer School IIIT di Kırklareli, saya bersama dengan penulis dan pemikir tersohor, Atasoy Müftüoğlu telah cuba untuk mencerakinkan apakah punca kegalauan pemikiran dalam masyarakat semasa.

Usaha ini sukar, namun beliau berpendapat bahawa memperbetul pandangan sarwa berpandukan nilai akhlak dan prinsip itu amat penting buat meluruskan sikap tidak kritis yang seringkali menjadi punca kepada kekeliruan dan ketaksuban.








Semalam saya berpeluang sampaikan syarahan terkait falsafah keadilan kepada tenaga fakulti dan mahasiswa di Universiti İbn Haldun, Başakşehir.

Saya mempopularkan karya Munyatul Musolli oleh Shaykh Daud al-Fatani yang mengungkap soal keadilan selepas berbicara tentang solat dan mengajak hadirin untuk sama-sama menelaahnya.

Saya turut teruja mengetahui sebahagian daripada mahasiswa di sini merupakan lulusan daripada universiti tempatan kita.

 





23/7/2022

Semalam sejurus tiba di Istanbul, saya ditemuramah Anadolu Ajansı terkait perkembangan semasa konflik kemanusiaan antarabangsa, termasuk perang, isu pelarian dan penindasan etnik minoriti.

Saya juga menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan Malaysia-Türkiye demi manfaat rakyat kedua-dua negara dan kemanusiaan sejagat.

Kerjasama ini juga bukan sekadar hubungan perdagangan, tetapi turut merangkumi pertukaran pendidikan, kebudayaan, kesusasteraan dan teknologi.

 





23/7/2022

Saya dan Azizah juga berpeluang temui Mantan Duta Besar Türkiye ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakcı dan Pegawai Khas Presiden, Fatima Abushanab.

Dr Kavakcı telah menamatkan tugasnya di Malaysia bulan lalu dan kini kembali berkhidmat di Türkiye.

Terima kasih saya ucapkan kepada Dr Kavakcı atas segala sumbangan dan perkhidmatan beliau bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Türkiye.

 







23/7/2022

Saya dan Azizah juga berkesempatan mengunjungi warga Malaysia di Istanbul.

Kami sempat adakan sesi dialog dan makan tengahari bersama mereka yang rata-ratanya terdiri daripada mahasiswa dan diaspora.

Dialog kami memberi fokus kepada pelbagai perkara terkait isu dalam negara dan perkembangan pendidikan dan kerjaya mereka di Türkiye.

Saya turut memberi nasihat kepada mereka untuk sentiasa optimis dan perkukuhkan tekad demi menjana perubahan yang baik untuk semua.

 





23/7/2022

Saya meluangkan masa menziarahi Dr Ahmad Totonji dan Dr Hisham Altalib sekeluarga di Bakirköy.

Kami juga sempat berbincang mengenai prestasi dan halatuju IIIT.

Kami turut mengenang persahabatan utuh lebih lima dekad yang dilalui ketika saat sukar dan senang.

Ini juga merupakan suatu keunikan IIIT kerana keluarga para pengasasnya rapat antara satu sama lain. Semoga ukhuwah ini terus berkekalan.

 

No comments: