Usul percaya adalah sama dari segi hasil atau keputusannya
dengan usul undi tidak percaya.
Sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad telah memohon untuk
mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin
dan ia telah pun diterima oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibentangkan di
Parlimen.
Oleh kerana Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu tiada sessi
perbahasan, kemungkinan besar usul itu akan diberi laluan untuk dibentangkan
dalam sessi yang akan bermula 13 Julai depan.
Usul undi tidak percaya itu adalah untuk menguji dan menentukan
sama ada Muhyiddin benar-benar ada sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen
seluruh negara.
Berdasarkan sususan tempat duduk pada Sidang Parlimen 18 Mei
lalu, penyokong kerajaan didapati hanya mempunyai kelebihan dua Ahli Parlimen
saja.
Kemudian, Ahli Parlimen Seri Aman, Sarawak, Masir Kujat
mengisytiharkan dirinya adalah bersama pembangkang, meskipun tempat duduknya
diletakkan di barisan kerajaan.
Kata beliau, kedudukannya telah ditentukan dan oleh itu beliau
tiada pilihan melainkan duduk saja di tempat yang telah disediakan untuknya
pada Sidang Parlimen 18 Mei lalu.
Selepas itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Dr. Shahruddin Salleh
membuat kejutan dengan meletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya,
satu lagi tamparan terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Seterusnya, Ahli Parlimen Lubuk Antu di Sarawak, Tambat @Jugah
anak Mayang daripada PKR mengumumkan keluar parti dan menyokong Muhyiddin serta
PN.
Dengan rentetan realiti itu, hakikatnya kedudukan Muhyiddin
adalah goyang dan rapuh dalam berhadapan usul undi tidak percaya yang bakal
dibawa oleh Tun Mahathir nanti di mana majoritinya hanya sekitar satu atau dua
undi saja.
Sekarang, dalam perkembangan terbaru, Pas yang bersama dalam
kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah mengesahkan bahawa mereka akan
membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada Sidang Parlimen
bermula 13 Julai depan.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, usul percaya
itu dibentangkan untuk menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin yang
telah menerajui negara sejak 1 Mac, baru-baru ini.
Sebagaimana disebut pada awal, dari segi keputusan akhir, hasil
daripada usul undi tidak percaya dengan usul percaya adalah sama saja.
Dalam usul undi tidak percaya, oleh kerana tujuannya ialah untuk
menunjukkan Muhyiddin tiada sokongan, jika undi menyokong adalah lebih tinggi
berbanding undi menentang, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan
tergugur melaluinya.
Di sini, pihak yang membawa usul harus berusaha, selain
memastikan sokongan pembangkang kekal tidak berubah, juga menambah undi
daripada pihak kerajaan yang mungkin ada Ahli Parlimen tertentu mempunyai
sebab-sebab tersendiri tidak setuju dengan kepimpinan Perdana Menteri.
Sokongan daripada Ahli Parlimen tertentu kerajaan terhadap usul
undi tidak percaya boleh juga dizahirkan dengan cara mereka berkecuali atau
tidak hadir Sidang Parlimen yang akan menyebabkan undi pihak kerajaan
berkurangan.
Dalam usul undi percaya pula, sesuai dengan tujuannya untuk
mengekalkan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri, Pas yang membawa usul
tersebut juga mesti berusaha memperolehi sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
Sebaliknya, kalau sokongan majoriti gagal diperolehi, undi
percaya itu dikira gagal dan kedudukan Muhyiddin dikira jatuh.
Dalam usul undi percaya, selain pembangkang sudah pasti tidak
memberi sokongan, undi daripada pihak kerajaan sendiri boleh berkurangan
daripada yang dijangkakan.
Ia misalnya, jika ada Ahli Parlimen kerajaan menunjukkan sikap
tidak menyokong dengan cara tidak hadir Sidang Parlimen atas pelbagai alasan
yang boleh direka atau dicipta, tetapi sebenarnya ada perasaan tidak puas hati
yang telah lama terpendam atau kerana tidak diberikan sebarang jawatan.
Dalam keadaan sokongan terhadap Muhyiddin hanya berkelebihan
satu atau dua undi, ketidakhadiran dua atau tiga Ahli Parlimen kerajaan tentu
saja boleh menggugat kedudukan Muhyiddin, baik dalam usul undi tidak percaya
atau usul percaya.
Dengan yang demikian, sementara tujuan Tun Mahathir mengemukakan
usul undi tidak percaya adalah jelas untuk menumbangkan Muhyiddin, tetapi
apakah niat Pas mengemukakan usul percaya itu?
Ini kerana, di sebalik niatnya mahu menunjukkan bahawa Muhyiddin
memiliki sokongan, ia boleh juga memperlihatkan Perdana Menteri sudah tiada
sokongan.
Tentulah sebenarnya lebih lurus jika Pas hanya berdiam diri saja
dan tidak gatal tangan turut mengemukakan usul percaya yang boleh menjejaskan
kedudukan Muhyiddin dalam keadaan sokongan yang dimilikinya begitu kabur dan
tidak menentu.
Apakah dalam hal ini, Pas sedang ada perancangan bersama UMNO
agar pilihanraya mengejut segera diadakan dan Muafakat Nasional boleh
meletakkan calonnya sendiri sebagai Perdana Menteri? (Shahbudindotcom
27/06/2020)