PPZ sasar RM1 bilion kutipan zakat tahun ini
PETALING JAYA: Sejumlah RM1 bilion pungutan zakat disasarkan dikutip tahun ini menerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata, sebanyak RM162 juta zakat sudah dikutip bagi tempoh Jan hingga Mac lalu.
Katanya, ia meningkat 12% berbanding RM145 juta bagi tempoh sama, tahun lalu.
“Saya yakin dan percaya jika jumlah kutipan zakat terus meningkat dan perniagaan pembayar zakat dimurahkan rezeki, tidak mustahil dengan sasaran RM1 bilion.
“Wang diberikan kepada PPZ-MAIWP diagihkan secara telus dan baik,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sementara itu, Idris berkata, MAIWP menyalurkan bantuan Aidilfitri berjumlah RM24.4 juta kepada 30,970 asnaf bagi meringankan beban golongan terbabit menyambut perayaan itu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 30,300 asnaf menerima bantuan berjumlah RM800, manakala 670 pelatih Dar-Saadah, pelajar Darul Kifayah dan Institut Kemahiran Baitulmal menerima bantuan RM300.
Dalam majlis berkenaan, MAIWP turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 dan barangan makanan kepada penerima bantuan yang disumbangkan oleh pemegang wakalah individu dan syarikat.
“Tanpa ada komitmen pembayar zakat, sudah tentu program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dibuat secara optimum, maksimum dan menyeluruh,” katanya.