Pemilihan PKR: Farhash sah cabar MB Selangor di Gombak

 

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, setakat ini, perebutan jawatan ketua PKR Gombak hanya antara beliau dan Amirudin Shari.

PETALING JAYA: Bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menghantar pencalonannya semalam untuk mencabar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi jawatan ketua PKR Gombak dalam pemilihan parti bulan depan.

“Setakat ini, perebutan bagi kerusi berkenaan hanya dua orang, saya dan menteri besar (Selangor),” kata Farhash dipetik Berita Harian.

Gombak antara bahagian yang menjadi tumpuan pada pemilihan PKR bulan depan kerana penyandangnya, Amirudin ialah ketua PKR Selangor merangkap pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Farhash meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar Disember lalu, sebelum mengumumkan beliau akan bertanding jawatan ketua PKR Gombak yang disandang Amirudin pada Februari lalu.

Pada 7 Feb lalu, Farhash dilaporkan berharap menjadi ketua PKR Gombak yang baharu dan seterusnya menentang Ahli Parlimen kawasan itu, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau diminta bertanding di kawasan itu oleh sebahagian ahli akar umbi yang mahu peremajaan parti sebelum PRU15 dan PKR juga mahu merampas semula kerusi Parlimen Gombak daripada Azmin, bekas timbalan presiden parti itu yang kini bersama Bersatu.

“Saya mahu menang kerusi itu (Gombak) dan menyatukan ahli PKR serta penduduk di kawasan berkenaan. Saya mahu susun gerak kerja untuk membantu ahli dan rakyat,” kata bekas ketua PKR Perak itu.

Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, Farhash berkata, beliau masih berbincang dengan rakan, tetapi akan membuat keputusan esok.

Penamaan calon bagi peringkat bahagian berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu, manakala enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan dan empat naib presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap PKR akan diadakan esok.

No comments: