Pindaan Perlembagaan 11 April boleh cetus undang undang sekat kebebasan berpersatuan?

 




Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 11 April ini yang telah dipersetujui untuk disokong oleh Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca kuasa bagi meluluskan Rang Undang undang (RUU) Anti Lompat Parti pada masa hadapan dianggap mempunyai kelemahan serius oleh beberapa pihak.



Terdapat pemimpin PH yang beranggapan meluluskan terlebih dahulu pindaan Perlembagaan namun RUU Anti Lompat Parti belum diketahui nasibhnya boleh membawa kepada hal 'merbahaya' memandangkan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan tersebut sekiranya tidak ditangani secara berhati hati boleh digunakan kerajaan untuk meluluskan undang undang yang anti demokrasi.



Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, pindaan Perlembagaan yang akan dilakukan Isnin ini sewajarnya dipertimbangkan semula agar tidak memberi kuasa meluas kepada Kerajaan dalam menyekat kebebasan berpersatuan.



"Berapa banyak daripada pindaan ini bergantung kepada niat murni dan niat baik kerajaan? Jika hanya itu semuanya disandarkan, maka ia sangat rapuh.



"Ia memberi kuasa Kerajaan Persekutuan selama-lamanya untuk melucutkan kerusi Ahli Parlimen. Kita perlu menyemak semula strategi perundangan ini," katanya di Twitter.



Seorang lagi pemimpin KEADILAN, Wong Chen juga memberi pandangan hampir sama. Beliau yang berkongsi salinan RUU berkenaan yang diberi untuk bacaan Jawatankuasa Pemandu berkata, pindaan berkenaan akan memasukkan klausa kecil yang membenarkan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan wakil rakyat dihadkan oleh undang-undang persekutuan.



"Bagaimanapun, peruntukan Perlembagaan membenarkan, yang akan dibahaskan pada hari Isnin terlalu luas.



"Pada asasnya ia memberi kuasa kepada undang-undang persekutuan untuk menggantikan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara yang berkaitan dengan "keahlian dalam parti politik (untuk) Ahli Parlimen dan ADUN".



"Ini perlu diperketatkan dan dikecilkan kepada konteks anti-lompat parti sahaja," katanya di Facebook.



Hakikatnya, biar pun pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen sebaliknya mana-mana perundangan yang menggunakan peruntukan Perlembagaan hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan.



Hal itu boleh membenarkan penciptaan undang-undang lain untuk menyekat kebebasan berpersatuan.



Kerajaan semasa dengan majoriti mudah boleh memperkenalkan undang-undang untuk mengenakan sekatan tersebut.



Sebelum ini, kegagalan kerajaan BN membentangkan RUU Anti Lompat Parti adalah berikutan penolakan Ahli Parlimen PN yang mahu mahu rang undang-undang itu "ditakrifkan dengan jelas", dan tidak akan memangsakan mana mana pihak di kemudian hari.

 


No comments: